Yamaha Tracer 9GT: Bukan sekadar motosikal hujung minggu

Yamaha Tracer 9GT: Bukan sekadar motosikal hujung minggu

BERAT keseluruhan mencecah sekitar 227 kg.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ditanya motosikal apakah yang paling sesuai untuk digunakan setiap hari, jawapan ramai mungkin akan terarah kepada skuter atau naked bike sesaran sederhana. Alasannya mudah, lebih ringan, lebih lincah dan senang dikendalikan ketika berdepan kesesakan lalu lintas.

Tetapi selepas beberapa hari bersama Yamaha Tracer 9 GT, pandangan penulis sedikit berubah. Memang benar, secara fizikal Tracer 9 GT jauh lebih besar daripada sebuah MT-09 atau MT-07.

Fairing hadapannya lebih lebar, cermin anginnya lebih tinggi dan posisi tunggangannya jelas dibina dengan satu tujuan utama, iaitu membawa penunggang menghabiskan beratus-ratus kilometer (km) di atas jalan raya dengan selesa.

Apa yang agak mengejutkan, motosikal ini langsung tidak terasa seperti sebuah jentera yang hanya sesuai digunakan ketika konvoi hujung minggu.

Sebaliknya, semakin lama ditunggang, semakin jelas bahawa Yamaha sebenarnya cuba menghasilkan sebuah motosikal yang boleh melakukan hampir segala-galanya.

Hari bekerja ia boleh dijadikan kenderaan ulang-alik ke pejabat, hujung minggu pula hanya perlu pasang side pannier dan isi penuh tangki bahan api sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi.

 

Enjin CP3 masih rasa ‘liar’, tetapi kini lebih matang

Kalau ada satu sebab mengapa ramai peminat Yamaha terus mengikuti perkembangan keluarga MT sejak lebih sedekad lalu, jawapannya ialah enjin CP3.

Enjin tiga silinder berkapasiti 890 cc ini mempunyai karekter yang agak sukar dijelaskan hanya melalui angka kuasa atau tork.

Di atas kertas, 119 PS dan 93 Nm mungkin nampak biasa jika dibandingkan dengan beberapa motosikal Eropah yang mempunyai kuasa jauh lebih tinggi.

Namun sebaik sahaja pendikit dipulas, barulah anda faham kenapa enjin ini mempunyai ramai peminat.

Tracer 9 GT masih menggunakan nadi yang sama seperti MT-09, tetapi Yamaha jelas melakukan sedikit sentuhan supaya karekternya lebih sesuai dengan sebuah motosikal touring.

Ketika bergerak perlahan dalam bandar, respon pendikit terasa lebih halus daripada yang penulis jangkakan. Ia tidak terlalu sensitif sehingga membuatkan motosikal terasa tersentak setiap kali membuka pendikit.

Ini penting, kerana motosikal touring bukan sekadar perlu sedap dipandu di lebuh raya, tetapi juga ketika merangkak dalam kesesakan lalu lintas.

Apabila jalan mula terbuka, barulah karakter sebenar enjin CP3 muncul. Kuasa pertengahan rpm terasa cukup kuat.

Tidak perlu memerah enjin sehingga menghampiri redline untuk memotong kenderaan di hadapan. Kebiasaannya hanya dengan memulas sedikit pendikit pada gear keempat atau kelima, motosikal ini sudah mula memecut dengan begitu yakin.

Perkara yang penulis paling suka ialah cara kuasa itu dihantar. Ia tidak datang secara mengejut. Sebaliknya, kuasa dibina secara progresif, membuatkan motosikal ini mudah dikawal walaupun ketika jalan mula berliku.

Masih ada sifat ‘nakal’ yang sinonim dengan MT-09, tetapi Tracer 9 GT berjaya menyalurkannya dalam pakej yang jauh lebih matang dan lebih mudah dikendalikan.

ENJIN tiga silinder berkapasiti 890 cc.

Rupa lebih besar, tetapi cepat buat penulis rasa serasi

Perkara pertama yang bermain dalam fikiran penulis sebelum mengambil kunci Tracer 9 GT ialah saiznya.

Berbanding MT-09 yang lebih ringkas dan kompak, Tracer 9 GT jelas kelihatan lebih besar dengan fairing yang lebar, cermin angin tinggi serta bahagian belakang yang direka untuk menerima side pannier.

Secara visual, ia memang memberikan aura sebuah motosikal yang dibina untuk merentas negeri, bukannya sekadar digunakan ke tempat kerja setiap pagi.

Namun tanggapan itu hanya bertahan beberapa minit.

Sebaik sahaja duduk di atas motosikal dan mula bergerak, saiz besar itu seolah-olah hilang. Berat motosikal diagihkan dengan baik dan kedudukan pusat grafitinya terasa rendah.

Walaupun berat keseluruhannya mencecah sekitar 227 kilogram (kg), ia tidak memberikan rasa seperti sedang mengendalikan sebuah motosikal yang berat. Ini mungkin antara perkara yang paling mengejutkan penulis sepanjang sesi pandu uji.

Malah ketika perlu membuat pusingan U atau menyelit perlahan di celah-celah kenderaan, Tracer 9 GT masih memberikan keyakinan.

Hendalnya cukup lebar untuk memberikan daya kawalan yang baik, manakala respon stereng pula terasa ringan tanpa membuatkan bahagian hadapan terlalu sensitif. Boleh dikatakan, Yamaha berjaya menyembunyikan saiz sebenar motosikal ini dengan cukup baik.

 

Ergonomik yang dibina untuk berjam-jam di atas jalan

Ramai orang melihat sport touring sebagai motosikal yang selesa, tetapi hanya selepas menunggang beberapa jam barulah kita benar-benar menghargai maksud selesa itu.

Tracer 9 GT merupakan antara motosikal yang membuatkan penulis kurang memikirkan soal posisi badan ketika menunggang.

Posisi hendal, tempat duduk dan kedudukan footpeg semuanya terasa semula jadi sebaik sahaja duduk di atas motosikal.

Badan tidak perlu terlalu membongkok seperti sebuah superbike, tetapi pada masa sama tidak terlalu tegak seperti sebuah adventure bike.

Kedudukannya berada di tengah-tengah, cukup santai untuk perjalanan jauh tetapi masih membolehkan penunggang mengubah posisi badan ketika memasuki selekoh.

Yamaha turut melakukan beberapa perubahan kecil yang sebenarnya memberi impak besar. Tempat duduk baharu bukan sahaja lebih tebal, malah direka lebih rata supaya berat badan dapat diagihkan dengan lebih sekata.

Bahagian hadapan tempat duduk pula dibuat lebih tirus, sekali gus memudahkan kaki menapak ketika berhenti.

Bagi penulis yang mempunyai ketinggian sekitar 183 cm, kedudukan tempat duduk terasa sangat sesuai. Lutut tidak terlalu membengkok dan ruang untuk bergerak di atas motosikal juga mencukupi ketika mahu mengubah posisi badan.

Lebih menarik lagi, Yamaha memanjangkan subframe sebanyak 50 milimeter (mm). Perubahan ini mungkin tidak begitu dirasai oleh penunggang, tetapi pembonceng pasti akan menghargainya.

Ruang duduk menjadi lebih luas dan tidak lagi terasa sempit seperti kebanyakan motosikal naked yang sekadar menambah kusyen belakang.

Ini menjadikan Tracer 9 GT lebih sesuai sekiranya anda kerap melakukan perjalanan berdua.

HENDAL cukup lebar untuk memberikan daya kawalan yang baik.

Dalam bandar, ia tidak sebesar yang disangka

Sejujurnya, sebelum sesi pandu uji bermula, penulis menjangkakan Tracer 9 GT akan menjadi sedikit menyusahkan apabila memasuki kawasan bandar.

Dengan fairing yang besar, hendal yang lebar dan tangki 19 liter, memang ada sedikit kerisauan sama ada motosikal ini mudah dikendalikan ketika trafik mula sesak.

Namun selepas beberapa jam menggunakannya di sekitar bandar, kebimbangan itu hilang begitu sahaja.

Sudah tentu ia tidak selincah sebuah skuter atau Yamaha MT-09, tetapi bezanya tidaklah sebesar yang disangka.

Menyelit di antara kenderaan masih boleh dilakukan dengan yakin selagi penunggang mengetahui lebar hendalnya. Radius pusingannya juga tidak terlalu besar, menjadikan proses membuat pusingan U atau keluar masuk simpang sempit masih mudah dilakukan.

Satu lagi perkara yang penulis hargai ialah pengurusan haba daripada enjin. Walaupun enjin CP3 menghasilkan hampir 120 PS, bahang yang sampai ke kaki penunggang masih berada pada tahap yang boleh diterima.

Kalau ditanya di mana Tracer 9 GT benar-benar berada dalam ‘zon selesa’, jawapannya sudah tentu di lebuh raya.

Sejujurnya, inilah persekitaran yang benar-benar menyerlahkan falsafah sebuah motosikal sport touring.

Apabila kelajuan mula meningkat melepasi 110 kilometer sejam (km/j), motosikal ini terasa semakin stabil dan matang. Enjin CP3 hanya beroperasi pada putaran sederhana, bunyi angin yang mengenai badan juga dapat dikurangkan dengan baik hasil rekaan fairing hadapan serta cermin angin yang lebih tinggi.

Di sinilah penulis mula memahami mengapa ramai pemilik Tracer di luar negara sanggup menghabiskan ribuan kilometer bersama motosikal ini.

Berbeza dengan motosikal naked yang membuatkan badan menerima sepenuhnya rintangan angin ketika menunggang laju, Tracer 9 GT berjaya mengalihkan sebahagian besar aliran angin ke bahagian atas helmet dan sisi badan.

Hasilnya, tekanan pada dada dan bahu berkurangan dengan ketara.

Walaupun masih ada sedikit bunyi angin pada bahagian helmet bergantung kepada ketinggian penunggang, ia bukanlah sesuatu yang mengganggu sehingga memaksa penunggang memperlahankan motosikal.

Sepanjang perjalanan, penulis juga mendapati enjin tiga silinder ini mempunyai karakter yang sangat sesuai untuk cruising.

Pada kelajuan lebuh raya, ia tidak perlu bekerja terlalu keras. Sekali-sekala apabila ingin memotong kenderaan di lorong kanan, hanya perlu memulas sedikit pendikit dan motosikal terus memecut tanpa banyak drama.

  

Windscreen elektrik, ciri yang nampak ringkas tetapi sangat berguna

Pada mulanya penulis menganggap sistem Electronic Adjustable Windscreen hanyalah satu ciri premium untuk membezakan Tracer 9 GT daripada model yang lebih murah.

Namun selepas menggunakannya sendiri, pandangan itu berubah.

Apa yang menarik, pelarasan ketinggian cermin angin boleh dilakukan ketika motosikal sedang bergerak. Jadi apabila memasuki lebuh raya, penulis hanya perlu menekan butang pada hendal kiri untuk menaikkan cermin angin ke kedudukan yang lebih tinggi.

Perbezaannya boleh dirasai hampir serta-merta.

Aliran angin yang sebelum ini mengenai bahagian dada mula dialihkan ke bahagian atas helmet, menjadikan posisi tunggangan lebih santai.

Perjalanan yang mengambil masa sejam atau dua jam juga terasa kurang meletihkan kerana badan tidak perlu menahan tekanan angin secara berterusan.

Sementara itu, jika ada satu ciri yang benar-benar membezakan Yamaha Tracer 9 GT daripada kebanyakan motosikal lain dalam kelasnya, ia sudah tentu sistem Matrix LED Headlight.

Teknologi ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu dalam dunia automotif. Selama lebih sedekad, ia digunakan pada beberapa kereta premium seperti Audi A8, sebelum diperluaskan kepada model lain seperti Audi A6, Audi Q7, selain turut diperkenalkan oleh pengeluar seperti Mercedes-Benz dan Porsche menerusi sistem pencahayaan pintar masing-masing.

Namun dalam dunia motosikal, ceritanya berbeza.

Tracer 9 GT menjadi motosikal produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi Matrix LED Headlight.

  

Suspensi elektronik KYB, antara ciri yang paling dihargai

Jika perlu memilih satu ciri yang paling memberi impak sepanjang sesi tunggang uji ini, penulis mungkin akan memilih sistem suspensi elektronik.

Kebanyakan motosikal masih memerlukan penunggang melaras preload atau damping secara manual bergantung kepada keadaan jalan atau jumlah beban yang dibawa.

Tracer 9 GT melakukan semuanya secara automatik ataupun pilihan mod tunggangan.

Sistem yang dibangunkan bersama KYB ini sentiasa memantau pergerakan motosikal dan melaras redaman mengikut mod tunggangan serta keadaan permukaan jalan.

 Ketika melalui jalan yang sedikit beralun atau mempunyai banyak tampalan, penyerap hentak memberikan rasa yang lebih lembut tanpa membuatkan motosikal terasa melantun.

Apabila mula memasuki selekoh dengan kelajuan lebih tinggi, badan motosikal pula terasa lebih tegap dan stabil. Bahagian hadapan memberikan maklum balas yang lebih jelas, manakala bahagian belakang tidak mudah terhayun apabila membuka pendikit keluar dari selekoh.

Perubahan karakter itu berlaku secara semula jadi sehingga penulis hampir terlupa bahawa suspensi sedang melakukan pelbagai pelarasan setiap saat.

Bagi sebuah motosikal yang direka untuk mengembara jauh, ciri seperti ini sebenarnya jauh lebih bernilai daripada tambahan beberapa kuasa kuda.

Ia membuatkan motosikal sentiasa berada dalam keadaan terbaik tanpa penunggang perlu memikirkan soal tetapan suspensi setiap kali keadaan jalan berubah.

 

Kesimpulan

Selepas menghabiskan beberapa hari bersama Yamaha Tracer 9 GT, penulis boleh katakan motosikal ini bukan sekadar dibina untuk perjalanan jauh.

Sebaliknya, ia sebuah sport tourer yang cukup seimbang, menawarkan keselesaan untuk menjelajah ratusan kilometer tanpa mengorbankan karakter sporty yang menjadi identiti enjin CP3.

Sepanjang sesi tunggang uji, Tracer 9 GT membuktikan ia bukan sahaja selesa di lebuh raya, malah masih mudah dikendalikan di dalam bandar dan cukup meyakinkan apabila melalui jalan berliku.

Tambahan pula, ciri seperti suspensi elektronik, Matrix LED Headlight, quick shifter generasi ketiga dan Yamaha Ride Control benar-benar memberi nilai tambah dalam penggunaan harian, bukannya sekadar memenuhi senarai spesifikasi.

Sudah tentu, ia bukan sebuah motosikal yang sempurna. Bahagian hadapan masih boleh dipertingkatkan dari segi kestabilan ketika dipacu pada kelajuan tinggi di sesetengah permukaan jalan. Namun secara keseluruhannya, ia tidak menjejaskan pengalaman menunggang yang ditawarkan.

Dengan harga bermula RM71,888, Yamaha Tracer 9 GT hadir sebagai sebuah pakej yang lengkap dalam segmen sport touring pertengahan. Bagi mereka yang mahukan sebuah motosikal yang boleh digunakan setiap hari, selesa untuk perjalanan jauh dan masih menyeronokkan apabila jalan mula berselekoh, Tracer 9 GT wajar berada dalam senarai pilihan.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN