Status bebas cukai kenderaan di Langkawi masih kekal - Utusan Malaysia

Status bebas cukai kenderaan di Langkawi masih kekal

MOHAMED NAZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status bebas cukai bagi pembelian kenderaan di Langkawi bukan dimansuhkan sepenuhnya seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya diperketat menerusi Belanjawan 2026 dengan hanya kenderaan baharu bernilai RM300,000 ke bawah layak menikmati insentif berkenaan mulai 1 Januari 2026.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, perubahan dasar itu bertujuan memperkukuhkan tadbir urus fiskal, meningkatkan pematuhan cukai serta mengekang ketirisan dan penyalahgunaan insentif yang berlaku sejak sekian lama.

Katanya, di bawah mekanisme baharu itu, pengecualian cukai masih dikekalkan, namun dihadkan kepada kenderaan dalam lingkungan harga tertentu, sekali gus menyebabkan kebanyakan kenderaan mewah dan berprestasi tinggi tidak lagi layak menikmati kemudahan tersebut.

“Status bebas cukai masih wujud untuk tujuan pembelian. Apa yang berubah ialah kelayakan, apabila hanya kenderaan baharu bernilai RM300,000 ke bawah diberikan pengecualian cukai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dakwaan negara bakal kehilangan sekurang-kurangnya RM400 juta susulan perubahan dasar tersebut, Mohamed Nazari berkata, pihaknya tidak mempunyai data terperinci bagi mengesahkan angka berkenaan.

“Jumlah tersebut berkemungkinan merupakan unjuran kehilangan jualan dalam segmen kenderaan mewah yang terkesan oleh pelaksanaan had harga baharu.

“Pekema melihat perubahan dasar ini sebagai langkah ke arah memastikan sistem percukaian yang lebih telus dan adil, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan industri automotif tempatan serta mengurangkan kebocoran hasil,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor  mendakwa Malaysia kerugian sekurang-kurangnya RM400 juta akibat keputusan kerajaan Persekutuan menarik balik keistimewaan bebas cukai terhadap pembelian  kenderaan mewah di pulau pelancongan itu.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pihak industri automotif kepadanya susulan langkah diumum kerajaan dalam Belanjawan 2026 bermula 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Nazari berkata, berlaku kekeliruan berhubung dakwaan bahawa kenderaan bebas cukai di Langkawi tidak lagi boleh dibawa ke Semenanjung.

Ujarnya, peraturan sedia ada masih membenarkan kenderaan berdaftar di Langkawi berada di tanah besar sehingga 90 hari dalam mana-mana tempoh setahun.

“Bagaimanapun, sekiranya pemilik mahu mendaftarkan kenderaan tersebut secara kekal di tanah besar, mereka perlu menjelaskan cukai eksais penuh ketika proses pendaftaran.

“Status bebas cukai masih wujud untuk tujuan pembelian. Namun kelebihan itu hanya kekal selagi kenderaan tersebut terus berdaftar di Langkawi,” jelasnya. 

Mengulas impak terhadap industri automotif, Pekema menjangkakan pengimport yang memberi tumpuan kepada segmen kenderaan mewah akan berdepan cabaran dalam jangka pendek.

“Namun begitu, kami melihat perubahan dasar tersebut sebagai peluang kepada pemain industri untuk mengembangkan jualan dalam segmen kenderaan bernilai di bawah RM300,000 yang masih menikmati pengecualian cukai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN