SHIN Ramyun lancar Stir Fry Kimchi dengan pensijilan halal

SHIN Ramyun lancar Stir Fry Kimchi dengan pensijilan halal

ANTONIO Jo (dua, kanan) bersama duta NONGSHIM Malaysia, penyanyi Wany Hasrita dan Khai Bahar, semasa majlis pelancaran NONGSHIM SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama mi segera nombor satu Korea, NONGSHIM, melancarkan perisa baharu SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi, bagi meraikan ulang tahun ke-40 jenama itu.

Perisa itu mengetengahkan konsep ‘SWICY’ atau gabungan rasa manis dan pedas bagi memenuhi citarasa pengguna masa kini.

Bagi pasaran Malaysia, SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi dibangunkan dengan pensijilan Halal bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan, selain mengekalkan cita rasa autentik masakan Korea.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden NONGSHIM, Antonio Jo berkata, pelancaran produk baharu itu seiring pencapaian penting syarikat apabila SHIN Ramyun muncul jenama mi segera Korea pertama mencatat jualan terkumpul global melebihi RM55 trilion sejak diperkenalkan pada 1986.

Beliau berkata, sepanjang empat dekad berada di pasaran, kira-kira 42.5 bilion pek SHIN Ramyun telah terjual di seluruh dunia sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama mi segera Korea paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.

“Peningkatan populariti makanan Korea di seluruh dunia termasuk melalui media sosial, terus mendorong syarikat memperkenalkan inovasi produk baharu tanpa mengabaikan identiti rasa pedas yang sinonim dengan SHIN Ramyun.

“Pelancaran perisa baharu itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam menyesuaikan produk dengan trend makanan semasa tanpa mengorbankan identiti jenama.

“Sempena sambutan ulang tahun bersejarah ini, kami kekal komited untuk terus berkongsi cita rasa autentik Korea serta inovasi kulinari dengan para peminat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

ANTONIO JO

Antonio menambah, SHIN Ramyun telah membawakan cita rasa Korea yang kaya kepada pengguna di seluruh dunia di mana Stir Fry Kimchi bakal mencerminkan bagaimana jenama itu terus berkembang seiring trend makanan moden tanpa mengabaikan identiti pedas yang kekal menjadi warisan.

Beliau turut memberi jaminan syarikat akan terus memperluaskan rangkaian produk Shin Ramyun menerusi pengenalan pelbagai perisa baharu yang selari dengan perubahan citarasa pengguna global.

Menurutnya, strategi itu bagi mengukuhkan komitmen NONGSHIM dalam menawarkan pengalaman menikmati makanan Korea yang autentik, berkualiti premium dan mudah disediakan.

“Perisa Stir Fry Kimchi diinspirasikan daripada hidangan kimchi goreng popular di Korea dengan menawarkan gabungan rasa manis, pedas dan umami yang seimbang selain mengekalkan tekstur mi kenyal yang menjadi keistimewaan jenama berkenaan.

“Produk ini menggunakan sos kimchi yang lebih pekat dan kaya bersama cebisan kimchi asli serta sawi putih bagi memberikan pengalaman menikmati hidangan yang lebih menyelerakan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN