ROBIN @ IJM Rimbayu di perbandaran IJM Rimbayu, Telok Panglima Garang mencatatkan kadar jualan luar biasa apabila 308 unit daripada dua fasa pertama habis terjual dalam tempoh hanya 28 minit semasa pelancarannya, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman di perbandaran itu.
Projek kediaman premium oleh IJM Land Berhad (IJM Land) dibangunkan merentasi empat fasa dengan jumlah keseluruhan 615 unit rumah teres dua tingkat.
Pembangunan pegangan bebas tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pembangunan kediaman berkepadatan rendah seluas 19.36 hektar di Presint Fauna yang dijadualkan memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2023 pada harga jualan bermula RM450,000 seunit.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, IJM Rimbayu dikenali sebagai sebuah perbandaran yang matang dan berkembang pesat.
Katanya, ini menjadikannya lokasi ideal bagi pembeli rumah yang ingin menaik taraf kediaman dalam persekitaran yang dikenali serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik.
“Robin @ IJM Rimbayu memenuhi keperluan pemilik rumah dan keluarga moden pasca pandemik, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang merentas generasi, selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadikan pembangunan hartanah sebagai pemangkin nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan alam sekitar.
“Pembangunan ini direka dengan teliti dengan mengintegrasikan ciri-ciri semula jadi, menyediakan kira-kira 18 peratus kawasan hijau seluas 3.49 hektar, jauh melebihi syarat minimum, selain mengambil kira aspek kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua rumah juga direka dengan kesederhanaan dan kebolehsesuaian sebagai asas utamanya.
Tambahnya, kediaman di IJM Rimbayu sentiasa direka untuk menawarkan ruang kehidupan yang berkualiti dalam suasana kehijauan yang menyeluruh.
“Di Robin @ IJM Rimbayu, kami melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan elemen reka bentuk mesra alam, termasuk landskap berinspirasikan taman, pencahayaan semula jadi yang luas serta susun atur fleksibel terbuka.
“Ciri-ciri ini membawa elemen kehijauan ke dalam rumah dan mewujudkan hubungan visual yang harmoni dengan alam semula jadi,” ujarnya.
IJM Land berkata, pelancaran fasa ini menawarkan unit kediaman dengan pilihan keluasan binaan yang luas bermula antara 1,535 kaki persegi hingga 2,009 kaki persegi.
“Antara ciri utama termasuk persekitaran berpengawal yang dilengkapi kemudahan ketersediaan jalur lebar berkelajuan tinggi, susun atur ruang terbuka serta pengudaraan semula jadi yang baik.
“Bilik tidur dan konfigurasi ruang direka bagi menempatkan pelbagai keperluan keluarga yang sentiasa berkembang, manakala susun atur fleksibel boleh diubah suai mengikut keperluan sebagai pejabat di rumah atau ruang privasi keluarga,” katanya.
Menurutnya, satu daripada ciri reka bentuk utama Robin @ IJM Rimbayu ialah penyediaan ruang bernafas yang lebih tinggi bagi memberikan keselesaan maksimum kepada pelbagai gaya hidup keluarga hari ini.
Jelasnya, ruang ini sangat sesuai untuk memenuhi keperluan rutin harian dan interaksi sosial yang seimbang.
“Bagi menyokong peralihan Kumpulan ke arah kehidupan rendah karbon dan lebih mesra alam, pembangunan ini telah memperoleh pensijilan bangunan hijau bertaraf GreenRE Bronze.
“Selain itu, setiap unit mencatatkan skor penilaian mutu kerja QLASSIC yang tinggi iaitu antara 82 peratus dan 83 peratus merentasi fasa pembangunannya bagi memastikan standard kualiti binaan yang terbaik.
“Di luar kediaman, Robin @ IJM Rimbayu menawarkan rangkaian taman komuniti dan kawasan rekreasi bersepadu termasuk dusun tropika organik seluas 0.24 hektar yang menempatkan lebih 30 spesies tempatan bagi mengukuhkan biodiversiti,” katanya.
Tambahnya, pembangunan ini turut menggabungkan elemen taman permainan bertema sarang burung, tapak perkhemahan, gelanggang pelbagai guna, padang layang-layang serta laluan joging dan berbasikal sepanjang 2.5 kilometer bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk.
Robin @ IJM Rimbayu turut menikmati akses yang strategik menerusi beberapa lebuh raya utama serta ekosistem perbandaran seluas 760.43 hektar yang kini telah dilengkapi lebih 5,000 kediaman dan 323 pejabat kedai yang siap dibina.
“Pembangunan ini juga berhampiran pelbagai kemudahan pemangkin sedia ada seperti The ARC, The Club, Linear Park, Oasis International School dan Lotus’s Rimbayu, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada bakal pemilik rumah.
“Prestasi cemerlang projek ini turut diiktiraf di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pemenang Perak Dunia bagi kategori Kediaman Bertingkat Rendah di Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2026, selepas memenangi FIABCI Malaysia Property Award 2025 bagi kategori Kediaman Bertanah,” katanya.-UTUSAN










