Rivertree STF sasar bina empat kuarters pekerja berpusat di Lembah Klang - Utusan Malaysia

Rivertree STF sasar bina empat kuarters pekerja berpusat di Lembah Klang

-habis SIMON David Leong (tengah) bersama pengurasan RSSB Builders Sdn Bhd dan Catenary Capital semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah dan kontraktor G7, Rivertree STF Synergies Berhad (RSSB) menyasarkan pembinaan sehingga empat buah kemudahan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Lembah Klang dengan anggaran nilai pembangunan keseluruhan mencecah RM600 juta.

Pengarah Eksekutif RSSB, Datuk Simon David Leong berkata, sasaran pembinaan kemudahan berkapasiti keseluruhan 28,800 katil itu merupakan sebahagian daripada perjanjian strategik kumpulan bersama pengurus ekuiti swasta, Catenary Capital Sdn. Bhd. (Catenary Capital) dan Q Centre Management Sdn. Bhd. (QCM).

Menurut beliau, baki tiga lagi kontrak muktamad bagi projek di bawah kerjasama tersebut dijangka akan ditandatangani dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang sebaik sahaja butiran terperinci dimuktamadkan.

“Kami memilih untuk menumpukan pasaran di Lembah Klang khususnya di kawasan Klang dan Shah Alam kerana wujudnya jurang permintaan serta penawaran yang sangat besar berbanding wilayah lain seperti Pulau Pinang dan Johor selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan data rasmi kerajaan, Selangor menampung sekitar 1.2 juta pekerja asing berdaftar. Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus hingga 60 peratus atau sekitar 600 hingga 7,000 pekerja asing berada di Klang dan Shah Alam.

“Dua kawasan ini sahaja merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan populasi pekerja asing di Selangor. Jadi buat masa ini, kami tidak perlu beralih ke negeri lain kerana pasaran di sini sahaja sudah cukup besar, selain kedudukan ibu pejabat kami yang terletak di Bukit Raja,” katanya semasa sidang media di sini hari ini. 

Sebagai langkah sulung bagi merealisasikan portfolio bernilai RM600 juta berkenaan, anak syarikat milik penuh kumpulan, RSSB Builders Sdn. Bhd. hari ini secara rasmi memeterai Kontrak Pembinaan Sedia Guna (Turnkey) bernilai RM168.1 juta.

Kontrak yang ditandatangani bersama Asetvest Sdn. Bhd. (Asetvest), syarikat milik penuh Asetra Sdn. Bhd. (Asetra) di bawah pengurusan Catenary Capital adalah bagi mereka bentuk dan membina CLQ pertama dikenali sebagai Q Centre @ Teratai berkapasiti 9,000 katil di Meru, Klang.

Di bawah kontrak tersebut, RSSB akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerja-kerja reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan kemudahan yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Bagi menyokong ekosistem tersebut, Asetvest turut menandatangani Perjanjian Pajakan bersama QCM yang akan bertindak sebagai pengendali rasmi kuarters itu sebaik sahaja ia siap sepenuhnya kelak.

Dalam pada itu, Rakan Pengasas Catenary Capital, Hizzan Hamid berkata, pelaburan modal pertama firma tersebut menerusi projek Q Centre @ Teratai ini didorong oleh kesesuaian struktur pasaran dan permintaan tinggi terhadap penginapan pekerja yang diuruskan secara profesional serta patuh Akta 446 di koridor perindustrian Lembah Klang.

Catenary Capital merupakan firma pengurusan ekuiti swasta berdaftar di bawah perkongsian am bersama (co-GP) menerusi Dana Pemacu, sebuah inisiatif pelaburan strategik yang diterajui oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Kerja-kerja pembinaan bagi projek pertama ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2028, dengan sasaran perolehan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2028. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN