PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.07 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh enam bulan akan datang, disokong oleh prestasi ekonomi domestik yang kukuh walaupun permintaan global terhadap dolar AS kekal tinggi.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, kekuatan dolar AS ketika ini masih didorong oleh permintaan yang berterusan terhadap mata wang tersebut serta daya tahan ekonomi AS yang masih berada pada landasan positif.
Katanya, faktor itu menyebabkan dolar AS terus menguasai pasaran mata wang global meskipun beberapa mata wang utama lain menunjukkan prestasi yang lebih baik.
“Ringgit bagaimanapun terus disokong oleh prestasi ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, khususnya pertumbuhan ekonomi pada suku kedua, selain dipacu kenaikan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mustafa, peningkatan harga dua komoditi utama itu memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara sekali gus menyokong sentimen terhadap ringgit.
Namun, katanya, kekuatan ekonomi Malaysia ketika ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor minyak dan komoditi seperti sebelum ini.
“Struktur ekonomi Malaysia kini jauh lebih pelbagai. Selain minyak dan minyak sawit, sektor elektrik dan elektronik (E&E) menjadi pemacu utama eksport negara berikutan permintaan global yang terus kukuh terhadap produk berteknologi tinggi.
“Prestasi memberangsangkan sektor E&E membuktikan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang lebih seimbang dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kelemahan ringgit berbanding dolar AS ketika ini disifatkan sebagai fenomena sementara, dengan mata wang tempatan dijangka kembali mengukuh sekiranya pertumbuhan ekonomi negara terus diperkukuhkan dan kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil.
Katanya, walaupun ringgit masih lemah berbanding dolar AS, prestasinya sebenarnya lebih baik berbanding kebanyakan mata wang utama lain hasil kekuatan ekonomi Malaysia yang semakin kukuh berbanding beberapa negara ASEAN.
“Kedudukan ekonomi domestik yang lebih stabil menjadi faktor utama yang menyokong nilai ringgit di peringkat serantau.
“Namun, kekuatan dolar AS yang didorong permintaan global yang tinggi terus memberi tekanan kepada mata wang negara, termasuk ringgit.
“Permintaan terhadap dolar AS sentiasa tinggi kerana ia merupakan mata wang utama dunia yang digunakan secara meluas dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan dan pegangan rizab bank pusat. Keadaan itu menyebabkan ringgit sukar mengatasi pengukuhan dolar AS,” katanya.
Menurut beliau, sentimen menggelakkan risiko dalam pasaran kewangan global turut memberi kelebihan kepada dolar AS apabila pelabur memilih mata wang itu sebagai aset selamat ketika ketidaktentuan ekonomi.
“Walaupun harga minyak mentah meningkat, faktor tersebut tidak banyak membantu mengukuhkan ringgit kerana eksport minyak Malaysia masih diniagakan dalam dolar AS.
“Apabila hasil eksport minyak diterima dalam dolar AS, peningkatan harga minyak tidak semestinya meningkatkan permintaan terhadap ringgit,” jelasnya.
Beliau berkata, kelemahan ringgit akan meningkatkan kos import, sekali gus menyebabkan harga barangan import menjadi lebih mahal.
“Bagaimanapun, keadaan ini boleh mendorong pengguna beralih kepada produk tempatan, sekali gus memberi manfaat kepada pengeluar dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai minyak, Mustafa berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia melepasi paras AS$100 setong (RM409.45) berpotensi memberi tekanan besar kepada ekonomi global termasuk AS berikutan peningkatan kos tenaga yang boleh mencetuskan semula tekanan inflasi.
Katanya, harga minyak yang tinggi akan memberi kesan kepada hampir semua sektor ekonomi kerana tenaga merupakan komponen penting dalam kos pengeluaran, pengangkutan dan rantaian bekalan global.
Katanya, peningkatan inflasi akibat kenaikan harga minyak boleh menjejaskan kuasa beli pengguna serta memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi dunia, termasuk ekonomi AS yang ketika ini masih berdepan cabaran untuk mengekalkan kestabilan harga.
“Apabila harga minyak meningkat terlalu tinggi, kesannya bukan sahaja kepada negara pengimport minyak, malah ekonomi besar seperti AS juga akan menerima tekanan kerana kos operasi syarikat dan perbelanjaan pengguna akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan politik di AS turut menjadi perhatian, khususnya menjelang pilihan raya presiden pada November yang mempunyai kaitan rapat dengan sentimen pasaran dan dasar ekonomi negara itu. – UTUSAN










