Proton catat jualan lebih 100,000 sehingga Jun, tertinggi dalam 15 tahun - Utusan Malaysia

Proton catat jualan lebih 100,000 sehingga Jun, tertinggi dalam 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) mencatat prestasi jualan separuh pertama terbaik dalam tempoh 15 tahun selepas melepasi angka 100,000 unit bagi enam bulan pertama tahun 2026, sekali gus membuktikan momentum kukuh syarikat dalam segmen kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan tenaga baharu (NEV).

Syarikat kereta nasional berkata, sebanyak 16,052 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada Jun lalu, menjadikan jumlah jualan keseluruhan kumpulan bagi tempoh Januari hingga Jun meningkat kepada 100,346 unit, pertumbuhan 39.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu merupakan prestasi jualan separuh pertama terbaik Proton sejak tahun 2011 serta meletakkan syarikat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2026.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, kejayaan melepasi angka 100,000 unit jualan sebelum pertengahan tahun merupakan satu pencapaian penting buat Proton dan mencerminkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap produk serta jenama tersebut.

“Apa yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan ini disokong secara menyeluruh oleh keseluruhan portfolio produk kami. Permintaan terhadap model-model ICE kekal kukuh, manakala e.MAS terus berkembang pesat.

“Ini membuktikan keupayaan Proton memenuhi keperluan pelanggan di setiap peringkat perjalanan mobiliti mereka dan memberi keyakinan kepada kami untuk mencapai sasaran jualan 200,000 unit tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Proton berkata, Saga kekal sebagai model paling laris syarikat apabila mencatat 7,000 unit jualan pada Jun, sekali gus meningkatkan jumlah jualan dari awal tahun hingga tarikh kepada 44,375 unit, meningkat 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, S70 pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sedan segmen C paling laris di Malaysia apabila mencatat tambahan 2,307 unit jualan pada Jun, menjadikan jumlah jualan keseluruhan meningkat kepada 12,832 unit atau 37.3 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2025.

“Dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), X50 terus mengekalkan status sebagai SUV segmen B dan SUV paling laris di Malaysia dengan 2,378 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan keseluruhan mencecah 15,345 unit, meningkat 35.1 peratus.

“Sementara itu, X90 yang diperbaharui terus menguasai pasaran SUV tujuh tempat duduk segmen D selepas mencatat 388 unit jualan pada Jun, sekali gus meletakkan prestasinya 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Proton berkata, sebanyak 17,920 unit e.MAS berjaya diserahkan kepada pelanggan bagi enam bulan pertama, mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 321 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Proton e.MAS 5, yang kini dipasang secara tempatan, terus mendominasi pasaran kenderaan elektrik (EV) negara dengan 1,436 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan dari awal tahun meningkat kepada 10,793 unit.

“Model e.MAS 7, yang turut dipasang di kilang pemasangan NEV PROTON di Tanjung Malim, pula mencatat tambahan 659 unit jualan pada Jun untuk meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 3,053 unit, manakala e.MAS 7 PHEV terus mengukuhkan kedudukannya sebagai model hibrid plug-in (PHEV) paling popular di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN