PETALING JAYA: PRISM+ memperkukuh kedudukannya dalam pasaran perkakas rumah di Malaysia menerusi pelancaran rangkaian baharu peti sejuk dan peti sejuk beku yang ditawarkan pada harga serendah RM599.
Ini selaras dengan perubahan corak perbelanjaan pengguna yang kini lebih cenderung membeli barangan runcit secara pukal ketika promosi serta mencari produk yang lebih cekap tenaga dan bernilai untuk jangka panjang.
Siri peti sejuk PureFresh dan peti sejuk beku FreezeMaster, yang menyasarkan isi rumah moden serta perusahaan kecil dengan menawarkan gabungan kapasiti penyimpanan lebih besar, kecekapan tenaga dan jaminan sehingga 12 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PRISM+, Jonathan Wong berkata, syarikat itu komited memastikan teknologi berkualiti dapat dinikmati lebih ramai pengguna tanpa membebankan kos.
“Kami sentiasa percaya teknologi yang baik perlu boleh dimiliki oleh lebih ramai isi rumah. Pelancaran ini bermula dengan memahami masalah sebenar pengguna, sama ada makanan cepat rosak atau ruang penyimpanan yang tidak mencukupi, sebelum menawarkan penyelesaian pada harga yang berpatutan.
“Kami juga bukan sekadar menjual produk, malah memastikan penghantaran, pemasangan dan perkhidmatan selepas jualan dilaksanakan secara mudah dan boleh dipercayai mengikut keselesaan pelanggan. Itulah pendekatan kami untuk menjadi jenama perkakas rumah paling dipercayai di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Model utama yang diperkenalkan ialah PureFresh FDR 520, peti sejuk empat pintu berkapasiti 520 liter yang dilengkapi penjana ion negatif dengan perlindungan antibakteria sehingga 99.99 peratus, selain sistem penyejukan pelbagai zon, teknologi No Frost dan pemampat inverter bagi memastikan suhu lebih konsisten serta penggunaan tenaga lebih cekap.
Produk itu turut dilengkapi paparan sentuh LED, mod penyejukan pantas dan pembekuan pantas , selain mod penjimatan tenaga.
PureFresh FDR 520 ditawarkan pada harga promosi RM1,979 bagi kemasan Inox dan RM2,079 untuk Gentle Matte Black, bersama jaminan pemampat selama 12 tahun.
Bagi pengguna yang tinggal di kediaman lebih kecil, PRISM+ turut memperkenalkan PureFresh TMF 170, peti sejuk dua pintu berkapasiti 170 liter yang hanya memerlukan ruang lantai seluas 0.23 meter persegi.
Model itu beroperasi pada tahap bunyi serendah 42 desibel, memiliki penarafan kecekapan tenaga empat bintang, rak kaca tahan lasak serta pintu boleh diterbalikkan bagi memudahkan pemasangan mengikut susun atur ruang.
PureFresh TMF 170 ditawarkan pada harga pelancaran RM599 menerusi tempahan awal di laman web PRISM+ dan disertakan jaminan pemampat selama 10 tahun.
Pada masa sama, PRISM+ memperkenalkan siri peti sejuk beku FreezeMaster yang direka khusus untuk pengguna yang gemar membeli barangan runcit secara pukal serta pengusaha perniagaan kecil seperti kafe, kedai serbaneka dan usahawan makanan dari rumah.
“Siri itu menawarkan perlindungan sehingga 100 jam ketika gangguan bekalan elektrik, penarafan tenaga empat bintang, ruang dalaman yang mudah dibersihkan, lampu LED terbina dalam, bakul penyimpanan boleh ditanggalkan serta kawalan suhu yang mesra kanak-kanak,” katanya.
FreezeMaster 260 dan FreezeMaster 390 ditawarkan pada harga bermula RM629 dengan jaminan pemampat selama 12 tahun.
PRISM+ berkata, setiap pembelian disertakan sokongan pelanggan 24 jam sehari, perkhidmatan sembang langsung dalam tempoh kurang seminit, bantuan telefon dalam tempoh kurang dua minit serta penghantaran dan pemasangan mengikut tarikh pilihan pelanggan.
PureFresh FDR 520 kini boleh didapati menerusi laman web rasmi PRISM+, Shopee Official Store dan semua cawangan runcit PRISM+ di seluruh negara, manakala PureFresh TMF 170 serta siri FreezeMaster dibuka untuk tempahan awal dengan penghantaran dijadualkan bermula pertengahan hingga akhir Ogos 2026. – UTUSAN










