KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menyasarkan sekitar 50,000 hingga 70,000 pengguna untuk mendaftar di platform digital terbaharunya, Pos ArRahnu Gold-i, dalam tempoh tahun pertama pelancarannya.
Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, platform ini menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia dengan kepakaran emas rakan strategiknya bagi menyediakan cara yang praktikal serta mudah diakses oleh seluruh lapisan masyarakat.
Ketua Pos Ar Rahnu, Mohammed Zubair Peerpulavar berkata, fokus utama perkhidmatan emas digital patuh Syariah ini adalah untuk menembusi pasaran massa, terutamanya bagi membantu kumpulan masyarakat dalam kategori B40 dan M40.
“Kami sememangnya mempunyai pelabur, namun sebab utama platform ini diwujudkan adalah kerana kami menyasarkan pasaran massa buat masa ini. Pelabur yang serius atau pelabur besar bukanlah fokus utama kami, tetapi kami tetap akan menyalurkan maklumat kepada mereka. Di sinilah pasukan pemasaran kami akan memainkan peranan penting.
“Fokus utama kami adalah lebih kepada pelanggan B40 dan M40. Pelanggan boleh mula membeli pelaburan emas ini dengan nilai minimum RM10 sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran produk tersebut di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, Fong Pok Yee, Pengurus Besar Go Capital Growth, Hong Kok Wah, serta wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) dan SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Emas yang ditawarkan menerusi platform ini disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM, dan NMIM bagi menjamin ketulenan, kualiti, serta ketelusan produk.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia sebagai simbol keselamatan dan kestabilan kewangan jangka panjang yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dengan cara yang mudah serta berpatutan.
“Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali dan percayai,” katanya.
Pelanggan juga boleh menikmati jurang harga beli dan jual yang rendah serta fleksibiliti untuk menukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai, dengan had belian semula bermula daripada 0.5 gram.
Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas fizikal edisi khas, termasuk jongkong emas “Pos World” 1 gram yang terhad kepada 500 keping sahaja di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.
Perkhidmatan Pos ArRahnu Gold-i kini tersedia bermula hari ini di cawangan Pos ArRahnu yang mengambil bahagian serta melalui portal digitalnya dengan melengkapkan proses pengesahan identiti (eKYC) menggunakan kad pengenalan. – UTUSAN










