PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyediakan bantuan segera kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk geran pemadanan bagi menghadapi tarif import 10 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, walaupun Malaysia dikenakan kadar tarif paling rendah dalam kalangan beberapa negara ASEAN, langkah itu tetap memberi tekanan kepada PMKS yang bergantung kepada pasaran eksport kerana mereka berdepan penyusutan margin keuntungan.
“Kita bersyukur kerana Malaysia berada pada kadar tarif terendah iaitu 10 peratus berbanding sebahagian negara ASEAN lain yang dikenakan 12.5 peratus, menunjukkan pengiktirafan awal AS terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar larangan buruh paksa.
“Bagaimanapun, penetapan tarif berdasarkan negara, bukannya penilaian di peringkat syarikat, menyebabkan syarikat tempatan yang telah melabur dalam pematuhan piawaian buruh antarabangsa tetap perlu menanggung beban tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kebanyakan PMKS tempatan berperanan sebagai pembekal Tahap 2 dan Tahap 3 dalam rantaian bekalan global, sekali gus berisiko menerima tekanan daripada pelanggan di AS untuk menyerap sebahagian kos tarif tersebut.
“PMKS kini berdepan dilema sama ada menyerap kos tambahan yang akan menghakis keuntungan atau menaikkan harga produk sehingga berisiko kehilangan pelanggan. Bagi syarikat yang beroperasi dengan margin keuntungan di bawah 15 peratus, keadaan ini memberi tekanan besar terhadap aliran tunai,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) perlu memperkenalkan beberapa bentuk sokongan bagi mengurangkan impak tarif berkenaan.
Beliau mencadangkan kerajaan menyediakan geran pemadanan khas bagi membantu PMKS menampung kos pendaftaran, pensijilan dan pemasaran untuk menembusi pasaran baharu seperti negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Asia Barat.
“Selain itu, kerajaan juga wajar menawarkan baucar atau subsidi audit pematuhan ESG dan standard buruh antarabangsa bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung syarikat.
“Dalam masa sama, MITI perlu meneruskan rundingan dua hala dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).
“Ini bagi mempercepat pelaksanaan rejim penguatkuasaan import berkaitan buruh paksa supaya Malaysia dapat dikeluarkan daripada senarai tarif Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khamis lalu, Wakil Perdagangan AS (USTR), Duta Jamieson Greer menerusi satu kenyataan mengumumkan Malaysia, antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 AS.
Selain Malaysia, Kemboja dan Indonesia turut dikenakan duti 10 peratus tersebut.
Mengulas sektor yang dijangka paling terjejas, beliau berkata, sektor pembuatan barangan industri am serta barangan pengguna bernilai tambah yang tidak tersenarai di bawah pengecualian asas bakal menerima kesan paling besar daripada pelaksanaan tarif tersebut.
Katanya, antara sektor yang paling terkesan ialah industri perabot dan pemprosesan kayu berikutan AS merupakan pasaran eksport utamanya selain berdepan persaingan harga yang sengit.
“PMKS dalam sektor komponen elektrik dan elektronik (E&E) ringan serta plastik yang membekalkan komponen peranti elektronik dan produk plastik berasaskan eksport turut dijangka menerima tempias.
“Sektor tekstil dan pakaian juga dijangka terjejas dalam tempoh terdekat memandangkan mekanisme kuota kadar tarif (TRQ) bagi tekstil masih belum berkuat kuasa sepenuhnya.
“Bagaimanapun, sektor minyak kelapa sawit serta beberapa komoditi mentah tertentu tidak terkesan kerana disenaraikan di bawah pengecualian Annex A oleh USTR,” jelasnya. – UTUSAN










