Petronas temui dua lagi telaga minyak di Suriname

Petronas temui dua lagi telaga minyak di Suriname

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas mencapai dua penemuan baharu serta kejayaan aktiviti penilaian di Blok 52 luar pesisir Suriname, menjadikan jumlah keseluruhan pencapaiannya di negara itu kepada lapan telaga yang berjaya dan secara kolektif membuka sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak.

Penemuan tersebut dicapai menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV), 

Menurut kenyataannya, telaga penerokaan Caiman-1 yang digerudi di kawasan perairan sedalam 90 meter sehingga kedalaman keseluruhan 5,065 meter menemukan beberapa lapisan batu pasir era Cretaceous yang mengandungi minyak.

“Sementara itu, telaga penerokaan Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1) yang terletak lapan kilometer di timur penemuan gas Sloanea-1 pada kedalaman air 610 meter dan digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 4,560 meter, menemui takungan batu pasir yang mengandungi gas. 

“Ujian aliran batang gerudi (DST) menunjukkan keupayaan pengeluaran gas yang kukuh, sekali gus membuktikan kualiti takungan yang baik,” katanya.

Petronas berkata, bagi telaga penilaian Roystonea-2 yang digerudi tujuh kilometer di utara Roystonea-1, hasilnya mengesahkan keluasan mendatar takungan yang mengandungi minyak. 

Menurutnya, keputusan DST turut menunjukkan produktiviti minyak yang tinggi, sekali gus mengesahkan lagi kualiti serta keluasan sistem takungan tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Petronas merangkap Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, kejayaan lapan telaga di Suriname dengan sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak mencerminkan kekuatan keupayaan teknikal syarikat, pelaksanaan yang berdisiplin serta kerjasama kukuh yang terjalin di negara itu.

“Blok 52 terletak dalam koridor yang mempunyai potensi tinggi dikenali sebagai Golden Lane dan kami kekal memberi tumpuan untuk menterjemahkan sumber ini kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan Petronas

“Kami berterima kasih kepada Staatsolie atas sokongan dan kerjasama dalam memacu kemajuan kami di negara ini. Petronas kekal komited terhadap aspirasi Suriname dalam membangunkan keupayaan tempatan, modal insan serta mewujudkan nilai bersama untuk kedua-dua negara,” ujarnya.

Petronas mengendalikan Blok 52 dengan pegangan kepentingan sebanyak 80 peratus, manakala baki 20 peratus dimiliki Paradise Oil Company N.V. (POC), anak syarikat milik penuh Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie).

Ketika ini, Petronas mempunyai kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname iaitu Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66.

Tambahnya, kejayaan ini mengukuhkan lagi pencapaian selepas pengisytiharan kebolehlaksanaan komersial medan gas Sloanea pada November 2025, dengan keputusan pelaburan muktamad (FID) bagi pembangunan medan tersebut disasarkan menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, ia juga mengukuhkan potensi pembangunan pelbagai projek minyak dan gas di Blok 52 serta menyokong kemunculan Suriname sebagai hab utama laut dalam di lembangan Suriname-Guyana.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya di Suriname, Petronas turut menganugerahkan biasiswa kepada tujuh pelajar Suriname yang kini mengikuti semester pertama pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Malaysia.

Pelajar berkenaan merupakan kumpulan pertama dari Suriname yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia di bawah program biasiswa Petronas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×