PETALING JAYA: Panasonic Malaysia meluaskan portfolio alatan dandanan diri bertaraf profesionalnya menerusi pengenalan The Barikan di pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga RM699.
Siri baharu yang direka khas untuk barber, pendandan rambut dan peminat penjagaan diri itu memulakan pelancarannya menerusi model pertama iaitu ER-XT70 T-Shaped Trimmer yang ditawarkan dalam kemasan emas premium.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida berkata, The Barikan melambangkan falsafah Kualiti Jepun Panasonic yang menggabungkan ketukangan, ketepatan serta perhatian kepada perincian.
“Diinspirasikan oleh budaya gunting rambut Jepun yang kaya serta disokong oleh pengalaman berdekad-dekad dalam teknologi penjagaan diri, Trimmer ER-XT70 menawarkan prestasi, kebolehpercayaan dan kebolehgunaan yang diperlukan untuk menyokong profesional serta penggemar dandanan diri masa kini.
“Direka dengan teliti untuk meningkatkan ketepatan serta penggunaan, siri ini mencerminkan komitmen kami dalam menghasilkan produk yang meningkatkan pengalaman harian melalui kualiti dan ketelitian sinonim dengan ketukangan Jepun,” katanya dalam kenyataan.
Dihasilkan di Jepun, ER-XT70 T-Shaped Trimmer menampilkan reka bentuk leher ternipis (slimmest neck) pernah dikeluarkan Panasonic bagi memberikan pandangan yang lebih jelas tanpa halangan semasa kerja pemotongan rambut yang memerlukan ketelitian tinggi seperti kemasan fade dan garis rambut.
Model berkenaan turut dikuasakan oleh motor tork tinggi berkelajuan sehingga 8,000 RPM serta menggabungkan teknologi bilah keluli tahan karat Jepun pada sudut 45 darjah untuk pemotongan yang lancar tanpa merosakkan atau menarik rambut.
Pelancaran di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada strategi perluasan jenama Panasonic ke seluruh rantau Asia Tenggara berikutan kejayaan pelancarannya di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.
Bagi memperkukuh hubungannya dengan komuniti barber global, Panasonic turut menjalin kerjasama dengan jenama kedai gunting rambut terkemuka Jepun, Mr.Brothers Cut Club. – UTUSAN










