OECD gesa Malaysia kenalkan semula GST - Utusan Malaysia

OECD gesa Malaysia kenalkan semula GST

Kerajaan belum bercadang mengembalikan GST. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menghapuskan subsidi bahan api secara berperingkat, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

OECD berkata, langkah berkenaan diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan ketika Malaysia semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi.

Katanya, menurut laporan Kaji Selidik Ekonomi Malaysia 2026, hasil cukai kerajaan adalah rendah iaitu hanya 12.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan perbelanjaan jangka sederhana serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

“Struktur hasil cukai negara pula dicirikan oleh pergantungan yang sangat besar kepada kutipan cukai pendapatan korporat mencerminkan asas cukai pendapatan individu yang sempit di Malaysia serta ketiadaan cukai nilai tambah yang dikenakan secara meluas.

“Struktur percukaian ini meningkatkan ketidaktentuan hasil kerajaan dan menyebabkan kedudukan fiskal lebih terdedah kepada turun naik kitaran perniagaan di peringkat global dan domestik.

“Ini khususnya dalam ekonomi yang keuntungan sektor-sektor utama seperti komoditi, elektronik dan logistik sangat sensitif terhadap keadaan permintaan luar,” katanya.

Menurut laporan OECD, peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus, kecuali bagi sektor telekomunikasi serta makanan dan minuman yang berkuat kuasa mulai Mac 2024 telah menyumbang dengan ketara kepada peningkatan hasil kerajaan.

“Selain itu, peluasan skop SST kepada perkhidmatan sewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan yang dilaksanakan mulai Julai 2025 turut meningkatkan kutipan hasil kerajaan.

“Oleh sebab itu, hasil SST meningkat kepada 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2025.

“Namun begitu, SST masih mempunyai batasan dari segi struktur. Sifatnya yang dikenakan pada satu peringkat sahaja menyebabkan gangguan dalam rantaian pengeluaran, manakala banyak pengecualian mewujudkan jurang ketara dalam kutipan.

“Akibatnya, SST kurang berkesan, kurang neutral dan kurang boleh dijangka berbanding sistem cukai nilai tambah moden,” jelasnya.

Ujarnya, cukai nilai tambah yang berasaskan liputan luas, seperti GST yang diperkenalkan pada 2015 tetapi dimansuhkan pada 2018 akan bergantung kepada asas hasil yang lebih kukuh dan pelbagai.

“Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada cukai berasaskan keuntungan yang tidak menentu serta mengagihkan beban cukai dengan lebih seimbang merentasi ekonomi, di samping mengurangkan gangguan dalam sektor produktif dan lebih menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, OECD berkata, reformasi subsidi tenaga di negara ini telah dikendurkan sedikit pada penghujung 2025.

“Walaupun harga petrol di Malaysia rendah berbanding negara lain di peringkat antarabangsa, kerajaan mengurangkan harga RON95 untuk rakyat Malaysia daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter mulai akhir September.

“Ia sekali gus mengekalkan harga pasaran yang pada ketika itu sekitar RM2.60 seliter bagi bukan warganegara melalui pengesahan MyKad di pam minyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN