KUALA LUMPUR: Persatuan Percetakan Malaysia (MPA) optimis industri percetakan negara terus berkembang meskipun berdepan ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), kerana kedua-duanya dilihat saling melengkapi dan bukannya menggantikan antara satu sama lain.
Pengerusi Penganjurnya, Iris Tan berkata, permintaan terhadap produk percetakan seperti pembungkusan, label, buku dan pelbagai bahan bercetak masih kukuh kerana ia terus menjadi keperluan dalam kehidupan seharian dan aktiviti perniagaan.
“Digital dan percetakan saling melengkapi. Perniagaan masih memerlukan pembungkusan, label, buku dan pelbagai produk bercetak. Sebab itu industri ini masih terus bertahan sehingga hari ini,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-40 MPA di Bangsar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden MCA,Tan Sri Ong Tee Keat dan Presiden MPA Nasional, Chong Choo Meng.
Iris berkata, masa depan industri juga bergantung kepada penggunaan teknologi percetakan yang lebih moden bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.
Menurutnya, teknologi baharu membolehkan tempoh persediaan mesin dipendekkan, sekali gus mempercepatkan proses pengeluaran serta meningkatkan kecekapan syarikat.
Sidang media itu menandakan permulaan program aktiviti industri selama setahun yang membawa kepada Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-40 MPA pada 22 Mei 2027.
Diadakan di bawah tema ‘Cetakan Berkuasa AI – Mengubah Percetakan, Memperkasa Perniagaan’, sambutan ini mengetengahkan komitmen industri untuk menerima pakai AI, pembuatan pintar, automasi dan transformasi digital.
Melalui inisiatif ini, MPA berhasrat untuk mempercepatkan inovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan mengukuhkan daya saing global industri percetakan Malaysia.
Semasa pelancaran, MPA memperkenalkan program siri jelajah selama setahun di seluruh negara, yang menampilkan sesi rangkaian, forum industri, lawatan kilang, seminar teknikal, misi pembelajaran antarabangsa, penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa dan aktiviti pemadanan perniagaan.
Inisiatif ini direka bentuk untuk mengukuhkan kerjasama antara pencetak, pembekal, penyedia teknologi dan pihak berkepentingan industri sambil mewujudkan peluang perniagaan baharu dan menggalakkan pertumbuhan industri yang mampan.
Persatuan itu juga mengumumkan sokongan daripada tiga Wakil Penaja iaitu UPA Machinery Sdn. Bhd., Systech Capital Sdn. Bhd., dan Yinzhi Interconnect (HK) Info Tech Co., Limited, sebuah syarikat teknologi perisian terkemuka yang menawarkan perkhidmatan kepada industri percetakan di China.
Dalam pada itu, Iris mengakui industri percetakan tempatan kini berdepan persaingan yang semakin sengit daripada syarikat luar negara yang menawarkan harga lebih rendah.
“Pada masa ini, industri percetakan tempatan berdepan cabaran besar daripada pesaing luar negara.
“Sehubungan itu, MPA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan yang bersesuaian, sama ada dalam bentuk subsidi atau memperketatkan undang-undang tertentu bagi membantu industri percetakan tempatan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kerjasama MPA dengan Systech Capital, Choo Meng berkata, syarikat itu bukan sahaja bertindak sebagai penaja persatuan, malah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan termasuk modal kerja serta pengurusan aliran tunai.
Beliau berkata, terdapat syarikat percetakan tempatan yang sedang membuat persediaan ke arah penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO), namun enggan mendedahkan jumlah atau sasaran syarikat yang terbabit. – UTUSAN










