MK Land Holdings Berhad (MK Land) memperkenalkan fasa terakhir pembangunan rumah teres dua tingkat Rumah Selangorku, Alpinia di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam menyokong agenda pemilikan rumah mampu milik di Selangor.
Projek Alpinia yang dibangunkan di bawah program Rumah Selangorku dijangka menyumbang kira-kira RM133 juta kepada nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan perbandaran Taman Bunga Raya yang dianggarkan mencecah RM1 bilion.
Sejak 2018, MK Land telah membangunkan lebih 12,000 unit rumah mampu milik, selaras dengan usaha meningkatkan kadar pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama dan isi rumah berpendapatan sederhana.
Ketua Hartanah Wilayah Tengah MK Land, Ezira Feirani Nor Rezan berkata, pembangunan Alpinia turut menyokong sasaran Kerajaan Negeri Selangor untuk membina 200,000 unit rumah mampu milik menjelang 2028, selain memenuhi perubahan keperluan pembeli yang kini lebih mengutamakan ekosistem kehidupan lengkap berbanding hanya memiliki kediaman.
Katanya, pembangunan perbandaran yang dirancang secara menyeluruh bukan sahaja memudahkan kehidupan harian penduduk, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan jauh, sekali gus menyokong pengurangan pelepasan karbon serta agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Keperluan pembeli rumah kini telah berubah. Mereka bukan sahaja melihat kepada struktur rumah semata-mata, tetapi kepada keseluruhan ekosistem kehidupan termasuk akses kepada kemudahan harian, pembangunan komuniti dan persekitaran yang kondusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek Alpinia di bawah skim Rumah Selangorku terus mendapat sambutan dalam kalangan pembeli berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), khususnya mereka yang ingin memiliki kediaman pertama pada harga mampu milik.
Menurut pemaju, majoriti pembeli terdiri daripada pasangan muda, keluarga yang baru memulakan kehidupan serta individu yang bekerja di sekitar Hulu Selangor, Rawang, Bukit Beruntung dan kawasan berhampiran.
“Alpinia Fasa 1 dijangka siap dan diserahkan kepada pembeli secara berperingkat pada penghujung 2027, tertakluk kepada kemajuan pembinaan serta kelulusan pihak berkuasa.
“Pembangunan itu kemudiannya akan diteruskan dengan pelaksanaan Alpinia Fasa 2 bagi memenuhi permintaan terhadap perumahan mampu milik di kawasan berkenaan,” katanya.
Selain faktor harga yang kompetitif di bawah skim Rumah Selangorku, projek itu turut menawarkan kelebihan dari segi lokasi kerana terletak dalam kawasan bandar yang telah matang dengan pelbagai kemudahan sedia ada.
“Antara kemudahan yang tersedia termasuk sekolah, tadika, surau, kedai, pasar raya, klinik dan stesen minyak, sekali gus memenuhi keperluan harian penduduk,” katanya.
Alpinia dibangunkan dalam dua fasa membabitkan 513 unit rumah teres dua tingkat.
Fasa pertama merangkumi 204 unit dengan keluasan binaan kira-kira 1,000 kaki persegi, menawarkan empat bilik tidur dan tiga bilik air pada harga bermula RM290,000.
Fasa kedua yang merupakan fasa terakhir pula melibatkan 309 unit dengan keluasan binaan sekitar 900 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga bermula RM230,000.
Terletak kira-kira 30 minit dari Plaza Tol Jalan Duta, Taman Bunga Raya menawarkan akses kepada rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utata Selatan (PLUS), Rawang Bypass dan Lebuhraya Guthrie, selain dilengkapi pelbagai kemudahan seperti sekolah, premis perniagaan, pasar awam, taman permainan dan surau.
Persekitaran yang tenang dengan kawasan hijau dan taman rekreasi turut menjadi nilai tambah kepada projek berkenaan, khususnya bagi pembeli yang mengutamakan persekitaran kondusif untuk keluarga.
Dengan gabungan harga mampu milik, kemudahan lengkap dan lokasi strategik, Alpinia dijangka terus menjadi antara pilihan utama pembeli rumah pertama, selain berpotensi menawarkan nilai pelaburan jangka panjang.
MK Land berkata, pembangunan itu mencerminkan trend semasa pasaran hartanah yang semakin memberi penekanan kepada pembangunan komuniti bersepadu, kebolehcapaian dan kelestarian sebagai faktor utama dalam keputusan pembelian kediaman. – UTUSAN










