PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyediakan kemudahan pembiayaan patuh syariah berjumlah RM60 juta kepada Huat Lai Group bagi menyokong pemodenan operasi penternakan ayam penelur komersial Kumpulan berkenaan.
Kemudahan itu disalurkan kepada anak syarikat Huat Lai Group bagi membiayai pembangunan reban ayam penelur moden berkonsepkan sistem reban tertutup serta kemudahan penggredan telur di Kuala Linggi, Melaka.
Pembiayaan disalurkan secara berperingkat selaras dengan program pengembangan dan jadual pengeluaran Kumpulan dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, peranan institusi kewangan adalah menyokong perniagaan tempatan melabur dan berinovasi secara mampan untuk jangka masa panjang.
“Kekuatan sesebuah negara bermula dengan keupayaannya memastikan rakyat sentiasa mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
“Huat Lai Group menunjukkan komitmen jelas dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara menerusi penternakan moden, dan kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Projek di Kuala Linggi itu mengaplikasikan teknologi penternakan closed-house dengan sistem pengudaraan automatik dan kawalan iklim bagi mengurangkan risiko penyakit serta mengoptimumkan pengeluaran telur.
Fasiliti tersebut turut dilengkapi sistem tali sawat najis automatik (automated manure-belt system) dan teknologi pengurusan ladang pintar untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Sementara itu, Pengarah Urusan Huat Lai Group, Lim Yeow Her berkata, sokongan berterusan daripada MBSB Bank membolehkan Kumpulan melabur dalam teknologi pemodenan untuk memenuhi permintaan telur berkualiti tempatan.
“Pembiayaan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan jangka panjang kami bagi membangunkan industri penternakan ayam yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan,” katanya. – UTUSAN










