PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memperluas rangkaian perlindungannya menerusi kerjasama bankatakaful dengan Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich General Takaful).
Kerjasama tersebut memberi pelanggan akses kepada pelbagai penyelesaian takaful am patuh Syariah merangkumi perlindungan kediaman untuk pemilik rumah serta perlindungan kemalangan diri bagi individu dan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, langkah itu diambil bagi memenuhi keperluan pelanggan yang kini mahukan perkhidmatan kewangan dan perlindungan yang lebih menyeluruh.
“Kerjasama dengan Zurich General Takaful membolehkan kami memperluas rangkaian perlindungan dan memudahkan pelanggan mendapatkan takaful am menerusi saluran yang sudah mereka kenali dan percayai,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, penggabungan kepakaran takaful Zurich dan hubungan kukuh MBSB Bank dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan serta menikmati ketenangan fikiran.
“Menerusi kerjasama jangka panjang dengan MBSB Bank, kami memperluas akses kepada penyelesaian perlindungan patuh Syariah yang menyokong pelanggan pada pelbagai peringkat kehidupan,” katanya.
Antara produk takaful am yang mula ditawarkan menerusi kerjasama ini termasuklah Zurich Homeowner Premier Takaful bagi perlindungan kediaman dan barangan isi rumah, pelan kemalangan diri berkelompok Zurich MBSB GPA Takaful untuk organisasi serta Personal Sentinel V3 Plus Takaful bagi perlindungan individu dan keluarga.
MBSB Bank turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak penyelesaian takaful am yang inovatif pada masa akan datang bagi menyokong usaha penyediaan perkhidmatan perbankan dan perlindungan yang lebih komprehensif. – UTUSAN









