PETALING JAYA: Malaysia perlu mempercepat usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) terutama daripada sektor tenaga bagi memastikan sasaran menjadi ekonomi sifar karbon bersih menjelang 2050 dapat dicapai, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Dalam Tinjauan Ekonomi Malaysia 2026, OECD berkata, peningkatan kejadian bencana berkaitan perubahan iklim di negara ini menjadi peringatan bahawa langkah mitigasi perlu diperkukuh bagi mengurangkan pelepasan karbon dan membendung risiko iklim.
Menurut laporan itu, pelepasan GHG tahunan Malaysia kini melebihi dua kali ganda berbanding paras tahun 2000 susulan pertumbuhan ekonomi yang pesat serta peningkatan permintaan tenaga.
“Sektor tenaga kekal sebagai penyumbang terbesar pelepasan karbon negara, diikuti sektor pengangkutan, sekali gus mencerminkan kebergantungan ekonomi kepada bahan api fosil.
“Malah, pelepasan karbon daripada sektor penjanaan elektrik meningkat hampir 250 peratus sejak tahun 2000, menjadikan sektor itu pemacu utama peningkatan pelepasan GHG negara.
“Walaupun intensiti pelepasan karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin menurun selepas pandemik Covid-19 dan masih lebih tinggi berbanding kebanyakan negara serantau,” katanya dalam laporan itu.
Menurut OECD, pada masa sama, pelepasan karbon per kapita Malaysia terus meningkat dan kekal jauh lebih tinggi berbanding ekonomi Asean lain.
“Bagi memperkukuh komitmen iklim, Malaysia mengemukakan Sumbangan Ditentukan di Peringkat Nasional (NDC) 3.0 kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada Oktober 2025.
“Berbeza dengan sasaran terdahulu yang memberi tumpuan kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon, komitmen baharu itu menetapkan sasaran pelepasan mutlak di seluruh ekonomi.
“Di bawah NDC 3.0, Malaysia menyasarkan pelepasan GHG memuncak antara 2029 hingga 2034, dengan sasaran utama mencapai kemuncak menjelang 2030 sebelum mengurangkan pelepasan sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida bersamaan (CO2e) menjelang 2035,” katanya.
Daripada jumlah itu, OECD berkata, pengurangan sebanyak 20 juta tan CO2e akan dilaksanakan tanpa syarat, manakala, baki 10 juta tan CO2e bergantung kepada sokongan pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada komuniti antarabangsa.
“Bagaimanapun, OECD berpandangan kadar pengurangan pelepasan selepas kemuncaknya masih agak perlahan memandangkan pelepasan GHG tahunan Malaysia meningkat sebanyak 40 juta tan antara 2019 hingga 2024.
“Sehubungan itu, organisasi tersebut berpendapat sasaran baharu itu mungkin belum cukup untuk meningkatkan momentum mitigasi dalam tempoh terdekat, sekali gus memerlukan tindakan lebih agresif bagi mencapai matlamat sifar karbon bersih menjelang 2050,” katanya.
Menurut OECD, Malaysia telah memperkenalkan beberapa dasar penting bagi menyokong agenda peralihan tenaga termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 2023.
“Pelan itu memberi tumpuan kepada enam pemacu utama, antaranya memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga, membangunkan teknologi hidrogen dan biotenaga, mempercepat elektrifikasi pengangkutan serta melaksanakan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif pembiayaan hijau seperti rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI Sukuk), Strategi Pelaburan Hijau, Kemudahan Peralihan Tenaga Negara (NETF) serta Pemindahan Fiskal Ekologi bagi menggalakkan pelaburan dalam projek tenaga bersih dan pemuliharaan alam sekitar.
“Walaupun bahagian tenaga boleh baharu dalam penjanaan elektrik semakin meningkat, OECD berkata campuran tenaga Malaysia masih banyak bergantung kepada arang batu, gas asli dan petroleum berbanding negara rakan serantau,” katanya.
Laporan itu berkata, Malaysia komited menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat menjelang 2044 di bawah NETR, manakala gas asli akan terus memainkan peranan sebagai bahan api peralihan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil sepanjang proses transformasi ke arah ekonomi rendah karbon. – UTUSAN










