KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya meluluskan pelaburan berjumlah RM815 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dengan sebahagian besarnya disalurkan kepada sektor strategik yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jumlah pelaburan itu bukan sahaja signifikan dari segi nilainya yang hampir menyamai separuh daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan negara, malah mencerminkan hala tuju ekonomi baharu yang sedang dibangunkan Malaysia.
Katanya, pelaburan berkenaan tertumpu kepada sektor pembuatan maju, semikonduktor, teknologi digital dan jentera moden yang menjadi pemacu utama dalam memperluaskan kapasiti produktif ekonomi negara.
“Cabaran kita bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi menarik pelaburan yang tepat.
“Pelaburan yang meningkatkan produktiviti dan daya saing, membawa masuk teknologi baharu, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik serta membolehkan ekonomi menjana nilai yang lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2026, di sini semalam.
Simposium yang membawa tema ‘Pembaharuan Demi Daya Tahan: Mengharungi Arus Ketidakpastian’, platform kepimpinan pemikiran tahunan BNM itu membincangkan isu-isu ekonomi dan kewangan utama termasuk daya tahan ekonomi, gaji, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.
Majlis sama turut menyaksikan peluncuran iTEKAD Kerjaya, iaitu program terbaharu di bawah naungan inisiatif kewangan sosial iTEKAD yang melengkapi program Keusahawanan dan Perlindungan.
Abdul Rasheed berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia turut dibuktikan menerusi kejayaan penerbitan Sukuk Global berjumlah AS$1.5 bilion di pasaran modal antarabangsa minggu lalu.
“Terbitan itu menerima sambutan luar biasa apabila permintaan pelabur mencecah hampir lima kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.
“Pelabur bukan sahaja bersedia melabur di Malaysia, malah sanggup berbuat demikian pada terma pembiayaan yang amat kompetitif dengan kadar spread terendah yang pernah dicatatkan,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu merupakan isyarat jelas bahawa pelabur global terus meletakkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia, agenda reformasi yang sedang dilaksanakan serta komitmen negara dalam mengekalkan disiplin dan tadbir urus ekonomi yang kukuh.
“Perkembangan positif itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Tambahnya, reformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran ekonomi global, namun kejayaan sebenar hanya dapat diukur apabila manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat. – UTUSAN










