KDNK nominal Malaysia capai RM2.03 trilion pada 2025 - Utusan Malaysia

KDNK nominal Malaysia capai RM2.03 trilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal Malaysia mencapai RM2.03 trilion pada 2025, dengan pampasan pekerja (PP) menyumbang 33.9 peratus, berbanding 33.6 peratus pada 2024.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, PP meningkat 5.8 peratus, mengatasi pertumbuhan ekonomi keseluruhan, sekali gus meningkatkan sumbangan pampasan pekerja dalam KDNK.

“Dalam pada itu, lebihan kendalian kasar (LKK) yang merangkumi 62 peratus kepada KDNK mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus. Sementara itu, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import (cukai bersih) melonjak sebanyak 53.7 peratus, meningkatkan sumbangannya kepada 4.1 peratus kepada KDNK.

“Peningkatan PP pada 2025 seiring dengan prestasi yang lebih baik dalam pasaran buruh, dengan penduduk bekerja meningkat sebanyak 1.3 peratus dan produktiviti buruh per pekerja berkembang sebanyak 4.0 peratus.

“Dalam pada itu, penyelarasan gaji minimum kepada RM1,700 serta pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut menyumbang kepada pampasan pekerja yang lebih tinggi pada tahun tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut sektor, DOSM berkata, PP dalam sektor perkhidmatan berkembang 6.2 peratus, dengan peningkatan dicatatkan dalam semua subsektor terutamanya perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

Menurutnya, sektor pembinaan mencatatkan peningkatan 11.4 peratus, diikuti oleh sektor pembuatan dengan pertumbuhan 2.5 peratus, disokong terutamanya oleh aktiviti produk mineral bukan logam, logam asas serta produk logam yang direka.

“Sementara itu, PP dalam sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing bertumbuh 6.5 peratus dan 3.2 peratus. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dalam PP yang merangkumi 62.6 peratus daripada jumlah keseluruhan PP pada 2025, seiring dengan komposisi guna tenaga sektor ini yang paling besar.

“Sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing menyumbang 21.8 peratus dan 9.5 peratus, manakala sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian, masing-masing mewakili 3.9 peratus dan 2.3 peratus,” ujarnya.

DOSM berkata, pertumbuhan LKK didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan (5.2 peratus), pertanian (5.0 peratus) dan pembinaan (2.1 peratus).

“Sebaliknya, LKK dalam sektor pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian masing-masing menurun 0.5 peratus dan 11.0 peratus.

“Dari segi sumbangan, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 55.5 peratus pada 2025 dan diikuti oleh sektor Pembuatan dengan sumbangan sebanyak 22.6 peratus.

“Cukai bersih berjumlah RM83.5 bilion pada 2025. Peningkatan ini terutamanya dipacu oleh hasil pencukaian yang lebih tinggi berserta pengurangan dalam subsidi.

“Cukai ke atas pengeluaran dan import berkembang 12.9 peratus, disokong oleh kutipan yang lebih tinggi daripada cukai perkhidmatan dan duti import. Sementara itu, subsidi menyusut 36.5 peratus berikutan pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi bahan api,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN