KUALA LUMPUR: Kadar pembangunan negara dijangka meningkat kepada 85 peratus menjelang 2040 berbanding 77 peratus pada 2025 dan hanya 28 peratus pada 1970.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited membangunkan bandar yang bukan sahaja boleh didiami, malah menjadi tempat yang benar-benar digemari.
Beliau berkata, sebuah bandar yang boleh didiami bermula dengan penyediaan kediaman berkualiti pada harga mampu milik agar setiap keluarga mempunyai akses kepada perumahan yang selesa.
“KPKT berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) apabila meluluskan lebih 511,000 unit rumah di seluruh negara hasil kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan pemaju swasta.
“Dalam usaha meningkatkan kecekapan pembinaan, beliau berkata, kementerian mempercepat penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pembinaan Volumetrik Pratuang Siap Kemasan (PPVC) bagi mengurangkan kos serta impak terhadap alam sekitar.
“KPKT turut memperkenalkan Inisiatif Simen Rahmah yang menawarkan simen pada harga bersubsidi bagi membantu pemaju meneruskan pembinaan rumah mampu milik tanpa menjejaskan kualiti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran laporan penyelidikannya bertajuk “Housing for All: Co-Creating a Needs-Driven Framework” di sini semalam.
Kor Ming berkata, pembangunan perumahan perlu dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira jaringan pengangkutan, peluang pekerjaan, kemudahan pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta kemudahan awam.
“Sehubungan itu, KPKT giat mempromosikan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dalam projek perumahan awam bagi memastikan kediaman mempunyai akses yang lebih baik kepada sistem pengangkutan awam dan perkhidmatan asas.
“Kementerian turut memperkukuh pelaksanaan inisiatif bandar pintar menerusi penggunaan sistem pengurusan trafik pintar, teknologi pemantauan serta pendigitalan perkhidmatan perbandaran di pihak berkuasa tempatan.
“Selain itu, KPKT juga bekerjasama dengan rakan sejawat di China bagi mempelajari pembangunan pusat kawalan bandar pintar yang memanfaatkan pendekatan berasaskan data untuk memperkukuh tadbir urus bandar dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Tambahnya, kementerian memberi penekanan kepada penyediaan ruang awam yang mudah diakses serta kawasan hijau bagi mewujudkan komuniti yang lebih sihat.
“KPKT menyasarkan pembangunan 1,000 Taman MADANI dalam tempoh 10 tahun dan setakat dua tahun kebelakangan ini sebanyak 216 taman telah dibina atau dinaik taraf, sekali gus meletakkan kementerian di landasan tepat untuk mencapai sasaran tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN










