Johor hab pusat data ketiga terbesar Asia Pasifik - Utusan Malaysia

Johor hab pusat data ketiga terbesar Asia Pasifik

ILUSTRASI artis untu pusat data yang bakal dibangunkan di Sedenak, Johor. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pusat data Malaysia terus mengatasi pesaing serantau disokong oleh perkembangan di Johor yang mendahului pelbagai penanda aras di Asia Pasifik, menurut laporan Knight Frank Data Centre Atlas 2026.

Johor merekodkan pencapaian pertama di peringkat serantau membabitkan saluran paip masuk berjaya mencecah 8,542 Megawatt (MW) serta kadar kekosongan pengoperasian bersama terendah pada 0.7 peratus.

Nilai keseluruhan pasaran Johor kini mencatatkan AS$39.11 bilion (RM159.9 bilion), hanya di belakang Jepun, selain memiliki kapasiti IT langsung sebanyak 1,110 MW yang berada di kedudukan ketiga teratas di Asia Pasifik selepas Tokyo (1,473 MW) dan Singapura (1,118 MW).

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data serantau dipacu oleh kestabilan dasar serta keadaan pelaburan yang selamat ketika ketegangan geopolitik global mendorong pelabur meneliti semula risiko penyebaran di rantau ini.

Kadar kekosongan pengoperasian bersama Johor yang berada pada paras 0.7 peratus nyata mengatasi pesaing lain seperti Singapura (4.9 peratus), Bangkok (23.3 peratus) dan Jakarta (20.5 peratus), sekali gus menyerlahkan permintaan kukuh terhadap aset berkenaan.

Sepanjang separuh pertama 2026 (1H2026), Johor merekodkan transaksi berkaitan pusat data bernilai RM1.0 bilion membabitkan kawasan seluas 66.21 hektar, termasuk komitmen pelaburan RM12.7 bilion oleh pakar skala hiper dari Australia untuk membina dua pusat data baharu berkapasiti 280MW.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Penilaian dan Penasihat Knight Frank, Justin Chee berkata, Johor yang dahulunya pasaran sekunder kepada Singapura kini telah berkembang menjadi pasaran berasaskan institusi sepenuhnya.

“Di Lembah Klang pula, permintaan kekal sihat dengan transaksi bernilai RM1.4 bilion membabitkan kawasan seluas 293.1 ekar dicatatkan pada separuh pertama 2026, disokong oleh Pelan Tindakan Masa Depan Digital 2026-2030 bernilai RM160.0 juta serta dasar penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan.

“Limpahan minat pelaburan kini turut merebak ke negeri-negeri lain termasuk cadangan projek pusat data AI bernilai AS$1.1 bilion (RM4.1 bilion) dan pelaburan RM9.0 bilion di Melaka, serta pembangunan taman AI bernilai RM1.0 bilion di Perak,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN