KUALA LUMPUR: Jetour Auto Malaysia memperkukuhkan saingan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi pelancaran Jetour T1 serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM129,800 bagi varian 1.5L TGDi 2WD, manakala varian 2.0L TGDi XWD dijual pada RM146,800.
Model berkenaan direka sebagai SUV urban moden itu menggabungkan elemen gaya, teknologi pintar, keselesaan dan fungsi bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan, sejajar dengan falsafah Travel+ yang menjadi identiti jenama itu.
Naib Presiden Jetour Auto Malaysia, Nicholas Ng berkata, pelancaran T1 merupakan satu lagi langkah strategik syarikat dalam memperkukuhkan portfolio SUV di Malaysia, selaras dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap kenderaan yang menawarkan reka bentuk premium, teknologi moden dan nilai terbaik.
“Jetour T1 dibangunkan bagi memenuhi jangkaan tersebut, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menawarkan produk yang relevan dengan gaya hidup tempatan serta memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran model itu di sini semalam.
Jetour T1 dibangunkan menggunakan platform monocoque dengan jarak roda 2,800 milimeter (mm), menawarkan ruang kabin yang luas serta pengalaman pemanduan lebih stabil dan selesa.
SUV itu turut menampilkan reka bentuk utilitarian kontemporari dengan lampu utama LED Storm-Eye, gril hadapan yang menyerlah serta pilihan empat warna luaran.
Varian 1.5L TGDi 2WD dikuasakan enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan 170PS dan 270Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Sementara itu, varian 2.0L TGDi XWD menggunakan enjin turbo 2.0 liter berkuasa 245PS dan 375Nm tork bersama sistem pacuan semua roda pintar.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian didatangkan dengan kluster meter digital 10.3 inci, tempat duduk kulit tiruan, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50W, pembantu suara serta tujuh port USB.
Bagi varian tertinggi, pelanggan turut menikmati skrin multimedia 15.6 inci, sistem audio premium Sony sembilan pembesar suara, bumbung suria panoramik serta tempat duduk penumpang hadapan dengan pelarasan kuasa dan perehat kaki.
Aspek keselamatan turut diberi penekanan menerusi enam beg udara SRS, sistem Bantuan Pemanduan Termaju (Adas) Tahap 2 dan paparan panoramik. Jetour T1 juga menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP dengan skor keseluruhan 87.67 mata.
Sebagai nilai tambah kepada pembeli, model itu didatangkan dengan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer (km), jaminan rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1 juta km serta lima servis penyelenggaraan percuma.
Sempena pelancaran, 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan Jetour T1 layak menerima rebat RM2,000 dan kadar pembiayaan serendah 1.68 peratus, tertakluk kepada terma dan syarat.
Model itu kini boleh dipandu uji dan ditempah di 43 bilik pameran Jetour di seluruh negara. – UTUSAN










