KUALA LUMPUR: Cabaran utama industri kewangan Islam Malaysia kini bukan lagi membina skala, sebaliknya memperkukuh inovasi bagi memastikan sektor itu terus berkembang melangkaui perbankan tradisional dan penawaran pasaran modal.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamed Zahid berkata, kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam terbina hasil ekosistem lengkap merangkumi perbankan Islam, sukuk dan pasaran modal Islam.
Ujarnya, pertumbuhan masa depan industri berkenaan bergantung kepada keupayaan pemain industri mencipta penyelesaian baharu selain memperkukuh kerjasama antara pihak berkepentingan.
“Pasaran domestik kita sebenarnya sangat kukuh dan ia akan terus berkembang sejajar dengan pertumbuhan sektor kewangan negara,” katanya ketika menjadi ahli panel pada Forum Kewangan Islam bertajuk ‘Daripada Dasar kepada Rakyat: Memperkukuh Impak Kewangan Islam’ di Simposium Sasana 2026, anjuran BNM di sini semalam.
Antara panel yang terlibat ialah Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki dengan Pengarah Jabatan Kewangan Islam BNM, Nurul Izza Idris sebagai moderator.
Dalam pada itu, Adnan Zaylani berkata, aset perbankan Islam kini merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan sektor perbankan domestik, manakala pasaran modal Islam mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruhan pasaran.
Katanya, kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global bukan sahaja berdasarkan saiz industri, tetapi turut dipacu keupayaan negara membangunkan produk dan pendekatan baharu termasuk kewangan sosial.
“Antara contoh kejayaan itu ialah iTEKAD, sebuah program kewangan sosial yang menggabungkan dana seperti zakat dan sumbangan dengan kemudahan pembiayaan, latihan serta sokongan ekosistem bagi membantu usahawan mikro membina perniagaan mampan,” katanya.
Adnan Zaylani berkata, program berkenaan mendapat perhatian antarabangsa kerana berjaya menggabungkan instrumen sosial Islam dengan penawaran sektor kewangan.
Jelasnya, pendekatan itu membuktikan kewangan Islam bukan sekadar menyediakan kemudahan kewangan, malah mampu menangani keperluan masyarakat serta membuka ruang kepada pembangunan ekonomi komuniti.
“Dalam pasaran modal Islam pula, Malaysia terus memperkenalkan inovasi menerusi struktur sukuk baharu.
“Penerbitan sukuk kerajaan berasaskan sukuk manfa’ah baru-baru ini menunjukkan usaha berterusan negara memperluaskan instrumen pasaran modal Islam selain menarik penyertaan pelabur antarabangsa.
“Penerbitan bernilai AS$1.5 bilion itu menerima permintaan kira-kira 4.7 kali ganda daripada jumlah tawaran dan mencatatkan jurang pulangan paling rendah pernah dicapai kerajaan, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, sukuk berkenaan turut menjadi penanda aras kepada syarikat tempatan yang berhasrat mendapatkan pembiayaan dalam mata wang asing melalui pasaran global.
Ujarnya, usaha mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam memerlukan komitmen berterusan daripada pihak pengawal selia, institusi kewangan dan pemain industri.
“Aspek seperti pembangunan bakat, kewangan sosial dan kerjasama antarabangsa akan terus menjadi tumpuan dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit,” katanya. – UTUSAN










