Indeks pelopor catat 114.4 mata pada Mei - Utusan Malaysia

Indeks pelopor catat 114.4 mata pada Mei

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) Malaysia bagi Mei 2026 terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 0.8 peratus, merekodkan 114.4 mata berbanding 113.5 mata pada Mei 2025.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu dipacu oleh prestasi positif beberapa komponen terutamanya penawaran wang benar, m1 (9.2 peratus) dan import benar semikonduktor (2.7 peratus).

“Ia selaras dengan kecairan ekonomi yang stabil serta pengembangan aktiviti pengeluaran berkaitan komponen elektronik.

“Namun begitu, dari perspektif bulanan, IP mencatatkan penurunan 0.5 peratus pada Mei 2026 susulan penyederhanaan dalam tiga daripada tujuh komponen.

“Ia merangkumi import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-0.6 peratus), bilangan syarikat baharu didaftar (-0.4 peratus) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Meneliti trend arah aliran jangka panjang terlicin pada Mei 2026, IP kekal berada di bawah 100 mata.

“Walau bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global dan perkembangan teknologi semasa.

“Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa meningkat 2.5 peratus, mencatatkan 131.2 mata pada Mei 2026 berbanding 128.0 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan dalam hampir kesemua komponen, kecuali kapasiti penggunaan dalam pembuatan,” ujarnya.

DOSM berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, IS menurun 0.3 peratus pada Mei 2026 berikutan prestasi yang perlahan dalam beberapa komponen.

“Ini terutamanya kapasitas penggunaan dalam pembuatan (-0.4 peratus), mencerminkan penyederhanaan dalam aktiviti ekonomi semasa berikutan ketidakpastian global yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN