Harga minyak sawit diunjur kekal RM4,400 satu tan

Harga minyak sawit diunjur kekal RM4,400 satu tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Public Investment Bank Berhad mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun penuh 2026 pada RM4,400 setan, dengan fenomena El Niño yang dijangka berlaku pada penghujung tahun berpotensi menjadi pemangkin kepada kenaikan harga komoditi itu walaupun stok minyak sawit Malaysia terus meningkat.

Bank pelaburan berkata, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS) kini mengunjurkan kebarangkalian sebanyak 81 peratus bagi fenomena El Niño yang sangat kuat berlaku antara Oktober hingga Disember 2026, manakala kebarangkalian ia berterusan sehingga awal musim bunga 2027 ialah 97 peratus.

Katanya, fenomena itu berpotensi menjadi antara yang terkuat pernah direkodkan dan boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit, sekali gus menyokong harga MSM dalam tempoh akan datang.

“Perkembangan El Niño yang semakin hampir boleh menjadi risiko kenaikan kepada harga MSM meskipun pengeluaran kini berada pada paras bermusim yang kukuh.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan berlakunya kejutan positif terhadap pendapatan syarikat perladangan dalam beberapa suku akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Public Investment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan dengan Sarawak Plantation Bhd. dan Ta Ann Holdings Bhd. sebagai pilihan utama berikutan hasil dividen yang menarik serta pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang mengatasi purata industri.

Menurutnya, stok minyak sawit Malaysia meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut kepada 2.5 juta tan metrik pada akhir Jun, iaitu paras tertinggi sejak Februari lalu, sekali gus melebihi jangkaan pasaran.

“Peningkatan stok sebanyak 4.8 peratus bulan ke bulan itu didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi walaupun eksport dan penggunaan domestik turut mencatatkan pertumbuhan.

“Bagaimanapun, nisbah stok kepada penggunaan susut kepada 13 peratus berbanding 14 peratus pada bulan sebelumnya.

“Eksport minyak sawit Malaysia pula kembali meningkat selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut dengan kenaikan 6.2 peratus bulan ke bulan kepada 1.2 juta tan metrik,” ujarnya.

Bank pelaburan berkata, peningkatan itu disokong permintaan lebih kukuh dari China yang meningkat 26 peratus, India (56 peratus), AS (15.3 peratus) dan Kesatuan Eropah (tiga peratus), walaupun penghantaran ke Asia Barat merosot 44.8 peratus.

“Bagi separuh pertama 2026, eksport minyak sawit Malaysia meningkat 5.3 peratus kepada 7.3 juta tan metrik berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu permintaan lebih tinggi dari India, Kesatuan Eropah dan AS.

“Sementara itu, penggunaan domestik melonjak 30.8 peratus kepada 401,700 tan metrik,” jelasnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN