Harga minyak mentah dijangka meningkat hingga AS$100 setong jika konflik berlarutan - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah dijangka meningkat hingga AS$100 setong jika konflik berlarutan

HARGA minyak mentah kembali melonjak susulan serangan terbaharu AS terhadap Iran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent dijangka meningkat kepada AS$90 (RM367.67) hingga AS$100 (RM408.53) setong sekiranya gangguan bekalan tenaga akibat konflik di Asia Barat berlarutan sehingga 2027, menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).

Ketua Kumpulan dan Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Allen Ng berkata, dalam unjuran asas, pihaknya menjangkakan harga minyak sekitar AS$80 (RM326.82) setong bagi 2026 dan kira-kira AS$70 (RM285.97) setong pada 2027, iaitu lebih rendah berbanding andaian dalam kemas kini interim Jun lalu.

Katanya, unjuran ini mengambil kira perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, walaupun harga minyak kembali meningkat sedikit berikutan ketegangan yang kembali memuncak.

“Dalam senario asas kami, harga minyak dijangka kembali stabil secara beransur-ansur sepanjang separuh kedua tahun ini.

“Memandangkan keadaan masih tidak menentu, kami turut menyediakan satu senario buruk yang mengandaikan gangguan bekalan berterusan sehingga 2027, dengan harga minyak Brent kekal sekitar AS$90 (RMRM367.67) hingga AS$100 (RM408.53) setong,” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai Kemas Kini Suku Tahunan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) bagi Julai 2026.

Dalam senario tersebut, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN+3 pada 2027 akan menjadi 1.2 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran asas, manakala inflasi akan meningkat kira-kira tiga mata peratusan.

Selain itu, beliau berkata, AMRO turut memantau kitaran kecerdasan buatan (AI) yang menjadi antara faktor penting mempengaruhi prospek ekonomi rantau itu.

“Dalam unjuran asas, pelaburan teknologi global dijangka terus berkembang sepanjang 2026 sebelum menyederhana pada 2027, sejajar dengan unjuran semasa industri terhadap kitaran semikonduktor global.

“Namun, seperti konflik di Timur Tengah, prospek AI juga masih diselubungi ketidaktentuan. Oleh itu, kami turut membangunkan satu senario buruk yang mengandaikan pelaburan global berkembang pada kadar lebih perlahan, iaitu menyamai kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada 2024.

“Dalam senario ini, pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN+3 pada 2027 akan menjadi sekitar 1.5 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran asas, iaitu sekitar 2.5 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dong He berkata, kesan konflik Asia Barat terhadap inflasi setakat ini masih terkawal dan lebih tertumpu kepada kos tenaga serta pengangkutan.

Menurutnya, AMRO belum melihat kesan pusingan kedua inflasi yang meluas, namun risiko terhadap harga makanan perlu diberi perhatian berikutan peningkatan kos petrokimia yang boleh menjejaskan harga baja dan seterusnya harga makanan.

Mengulas prospek harga minyak, beliau berkata sekiranya harga meningkat lagi sekitar AS$10 (RM40.85) hingga AS$15 (RM61.28) setong daripada unjuran asas, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN+3 akan menjadi lebih ketara, khususnya pada 2027.

Dalam pada itu, Dong He berkata, kesan kenaikan harga tenaga berbeza mengikut struktur ekonomi sesebuah negara.

“Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Filipina lebih terdedah kepada kenaikan harga tenaga kerana kebergantungan lebih tinggi terhadap import tenaga serta sektor pembuatan yang lebih intensif tenaga.

“Bagi Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya mungkin mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

“Namun, kedua-dua negara masih akan berdepan dengan peningkatan kos pengangkutan, permintaan luaran yang lebih lemah sebagai kesan tidak langsung serta kemungkinan turun naik dalam pasaran kewangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN