Dusit Princess Melaka perkukuh hab MICE Utama

Dusit Princess Melaka perkukuh hab MICE Utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dusit Princess Melaka terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama bagi acara korporat serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) menerusi pelbagai inisiatif strategik. 

Langkah itu bagi memperluaskan pasaran korporat dan menarik lebih banyak acara perniagaan di peringkat nasional serta antarabangsa.

Pengurus Besarnya, Richard Suter berkata, hotel itu komited menyediakan pengalaman MICE yang lancar, eksklusif dan berorientasikan hasil kepada pelanggan domestik serta antarabangsa.

Menurut beliau, lokasi strategik hotel di tengah bandaraya Melaka menjadi antara kelebihan utama dalam memenuhi keperluan penganjuran mesyuarat, program insentif, persidangan dan pameran pelbagai skala.

“Selain itu, kami juga mempunyai kemudahan ruang acara serba guna, teknologi skrin Diod Pemancar Cahaya (LED) bersepadu serta perkhidmatan yang diperibadikan turut menjadi nilai tambah kepada hotel ini.

“Kami turut sentiasa memastikan setiap acara dilaksanakan secara profesional dan menepati keperluan pelanggan, disokong oleh pasukan berpengalaman serta hospitaliti bertaraf antarabangsa diinspirasikan oleh warisan Thai daripada Dusit International. 

“Seiring perkembangan Me­laka sebagai hab perniagaan dan pelancongan yang semakin pesat, kami berbangga dapat terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara destinasi pilihan utama bagi penganjuran acara korporat, konvensyen serantau dan acara perniagaan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Dusit Princess Melaka turut menawarkan Bilik Bendahara bersama ruang acara di tingkat tujuh selepas menjalani kerja naik taraf menyeluruh. 

Pembaharuan tersebut merangkumi sentuhan reka bentuk dalaman yang lebih moden, penambahbaikan sistem akustik, kemudahan audiovisual terkini yang dilengkapi skrin LCD terbina dalam, serta ruang legar yang lebih luas bagi memenuhi pelbagai keperluan mesyuarat.

Dewan utama hotel berkenaan juga menjadi tunjang kepada rangkaian 12 bilik fungsi yang menawarkan susun atur fleksibel yang mempunyai keluasan keseluruhan 774 meter persegi dan kemampuan menampung sehingga 1,000 orang tetamu. 

Kemudahan yang disediakan turut merangkumi beberapa bilik serbaguna untuk sesi perbincangan kumpulan kecil, selain ruang legar yang selesa dan sesuai digunakan untuk aktiviti sebelum acara, pameran serta majlis sambutan.

Sementara itu, Pengarah Acara dan Kateringnya, Carol Fok berkata, pihaknya menyaksikan peningkatan permintaan daripada syarikat korporat, agensi kerajaan, persatuan dan perancang acara yang mencari lokasi dengan kemudahan lengkap serta perkhidmatan profesional.

“Dusit Princess Melaka akan terus menambah baik tawaran acara dan memperibadikan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.

“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan acara yang bermakna dan berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi daya tarikan Melaka sebagai destinasi MICE pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN