PETALING JAYA: Peningkatan harga minyak diunjur meningkatkan pembayaran dividen Petronas kepada sekitar RM33.5 bilion pada tahun ini, berbanding RM20 bilion yang dijangka dalam Belanjawan 2026.
BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, pembayaran dividen Petronas yang lebih tinggi dijangka mampu membantu kerajaan menampung peningkatan subsidi bahan api sekiranya harga minyak mentah Brent kekal tinggi sepanjang tahun ini, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.
Katanya, berdasarkan andaian harga purata Brent pada AS$95 (RM388.04) setong bagi 2026 berbanding andaian AS$65 (RM265.50) setong dalam Belanjawan 2026, subsidi bahan api dijangka meningkat kepada sekitar RM40 bilion, hampir dua kali ganda daripada anggaran asal RM21.6 bilion.
“Dari segi sejarah, pembayaran dividen Petronas menunjukkan korelasi positif dengan purata harga minyak, walaupun keputusan pembayaran turut bergantung kepada keperluan perbelanjaan modal (capex), penjanaan aliran tunai serta keutamaan pembangunan negara.
“Namun begitu, lebihan operasi dijangka susut daripada sasaran RM4.9 bilion dalam belanjawan kepada hampir pulang modal. Bagi mengekalkan lebihan operasi sebanyak RM4.9 bilion, dividen Petronas perlu meningkat kepada sekitar RM38.4 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma pemborkeran itu berkata, purata harga Brent mencecah AS$92.5 (RM377.81) setong pada separuh pertama 2026 dan firma mengekalkan unjuran purata harga AS$95 (RM388.04) setong bagi keseluruhan tahun ini.
“Kami menjangkakan harga minyak kekal tinggi sepanjang tahun, disokong oleh risiko geopolitik yang berterusan serta permintaan yang kukuh, khususnya daripada syarikat penapisan yang sedang membina semula inventori dan menambah stok selepas beberapa tahun berdepan keadaan bekalan yang ketat,” ujarnya.
Pada masa sama, firma berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berpotensi melebihi 5.0 peratus tahun ini, berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 5.0 peratus yang dijangka memberi rangsangan kepada kutipan hasil cukai dan bukan cukai.
“Oleh itu, dividen Petronas sekitar RM35 bilion mungkin mencukupi untuk menampung sebahagian besar peningkatan subsidi bahan api.
“Memandangkan kerajaan mempunyai ruang yang terhad untuk memperkenalkan cukai baharu atau menaikkan kadar cukai, meningkatkan pembayaran dividen daripada Petronas adalah kaedah paling praktikal bagi mengimbangi kenaikan subsidi bahan api.
“Walau bagaimanapun, dengan andaian perbelanjaan pembangunan kekal pada RM81 bilion, defisit fiskal dijangka melebar kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding sasaran 3.5 peratus dalam belanjawan,” jelasnya
Bagi 2027, BIMB Securities menjangkakan harga Brent akan menyederhana kepada sekitar AS$85 (RM327.22) setong apabila ketegangan geopolitik beransur reda dan keadaan bekalan kembali stabil.
Jelasnya, perkembangan itu dijangka mengurangkan keperluan subsidi bahan api serta pembayaran dividen Petronas, manakala defisit fiskal diunjur mengecil semula kepada 3.5 peratus daripada KDNK.
“Dalam masa sama, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2027, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, aktiviti pelaburan yang berterusan serta harga komoditi yang masih menggalakkan,” katanya. – UTUSAN










