PETALING JAYA: Anak syarikat DRB-HICOM Berhad, CTRM Holdings Sdn. Bhd. (CTRM) memenangi Anugerah Asia Best Maturity 2026 sempena Aero Excellence International 2026 Best Maturity Awards yang berlangsung bersempena Farnborough International Airshow di United Kingdom (UK).
Kejayaan yang dicapai menerusi anak syarikatnya, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd. itu menyusul selepas syarikat meraih Tahap Kematangan Gangsa (Bronze Maturity Level) di bawah Program Penilaian Industri Aero Excellence dengan mencatatkan skor melebihi 90 peratus dalam kesemua lima domain penilaian.
Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, kemenangan anugerah berkenaan merupakan pencapaian signifikan bagi CTRM dan mencerminkan dedikasi serta komitmen tinggi warganya.
“Keputusan penilaian ini mengesahkan keutuhan sistem operasi, keupayaan pembuatan dan budaya penambahbaikan berterusan kami.
“Kami turut mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas keyakinan mereka terhadap CTRM, selain penghargaan kepada Airbus dan Collins Aerospace yang menyokong dalam memajukan kecemerlangan industri merentasi rantai bekalan aeroangkasa,” katanya dalam kenyataan.
Penilaian berkenaan merangkumi lima domain utama iaitu Pengurusan Sumber Organisasi, Perancangan dan Logistik, Pengurusan Industri Pembekal, Pengindustrian dan Kualiti serta Kecemerlangan Pembuatan.
Tambahnya, syarikat telah menjalani penilaian ketat pada September tahun lalu yang dikendalikan oleh tujuh penilai bertauliah Aero Excellence menerusi 776 soalan merangkumi hampir setiap aspek operasi industri dan pembuatannya.
“Pencapaian itu sekali gus meletakkan CTRM dalam kalangan kelompok elit memandangkan daripada 239 penilaian yang dijalankan Aero Excellence di peringkat global, hanya 82 atau 34 peratus sahaja yang berjaya mencapai status Kematangan Gangsa.
“Selain melepasi syarat pensijilan Gangsa, CTRM turut memenuhi lebih 67 peratus kriteria tahap Perak dan 27 peratus kriteria tahap Emas. di mana menurut Penilai Utama program tersebut, prestasi seumpama itu belum pernah dicatatkan oleh peserta kali pertama pada skala pembuatan sebesar CTRM,” tambahnya.
Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan CTRM sebagai salah satu pengeluar komposit aeroangkasa terkemuka di rantau ini, sekali gus membuktikan keupayaannya untuk memenuhi keperluan prestasi industri dan rantai bekalan aeroangkasa global. – UTUSAN










