CBP anjur MMKI 2026 perkasa naratif dan kredibiliti kewangan Islam - Utusan Malaysia

CBP anjur MMKI 2026 perkasa naratif dan kredibiliti kewangan Islam

DR. Zulkifli Hasan (tengah) merasmikan Muzakarah Anjuran Co-Op Bank Pertama (CBP) Perkasa Naratif dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam di sebuah hotel hari ini. - UTUSAN/ M. Firdaus M. Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) menganjurkan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) 2026 kali kedua bagi memperkukuh ekosistem serta memartabatkan reputasi dan kredibiliti perbankan Islam di negara ini.

Majlis bertemakan ‘Antara Realiti dan Persepsi: Memperkasa Naratif Perbankan Islam, Reputasi dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam’ dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Dr. Zulkifli berkata, muzakarah berkenaan menjadi platform penting dalam meneliti isu-isu semasa serta realiti perkembangan industri perbankan Islam hari ini menerusi perkongsian ilmu daripada pelbagai pihak.

“Pakar-pakar yang membicarakan isu ini diberikan input serta pandangan daripada pengamal industri, ahli akademik dan masyarakat secara umumnya.

“Ini akan dapat memberikan informasi serta data baharu kepada pengamal perbankan dan pemain industri, termasuk CBP, untuk mereka menawarkan produk, instrumen dan solusi terbaik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut.

Penganjuran MMKI 2026 turut mendapat kerjasama strategik rakan industri termasuk Bursa Malaysia, Rakyat Trustee Berhad, Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam Malaysia (ASAS), Pusat Penyelidikan Kewangan Islam Antarabangsa (IRCIEF) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Antarabangsa IIUM.

Sementara itu, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, penganjuran susulan daripada edisi pertama pada 2024 itu menyaksikan CBP berjaya memperkenalkan Produk Bai Manfaah Purchase Orderer (BMPO) sebagai alternatif kepada konsep Tawarruq.

Menerusi konsep BMPO berkenaan, pelbagai produk baharu bakal diperkenalkan membabitkan pembiayaan bagi tujuan pendidikan, perubatan dan umrah.

“Atas kesedaran inilah, penganjuran MMKI 2026 memilih tema yang bertepatan dengan persekitaran semasa di mana maklumat bergerak pantas dan persepsi boleh terbentuk dalam beberapa saat sehingga mengatasi fakta.

“CBP mengambil inisiatif mengumpulkan para ilmuwan untuk berbahas supaya dapat mewujudkan garis pemisah yang jelas antara makhraj (penyelesaian syariah) dan hilah yang buruk atau muslihat yang tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, jika industri mahu melihat kewangan Islam terus dihormati bagi tempoh 50 tahun akan datang, pelaburan terbesar hari ini terletak pada keberanian untuk terus berwacana, berijtihad dan berdialog. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN