Bursa Malaysia raih untung RM144.6 juta separuh pertama 2026 - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia raih untung RM144.6 juta separuh pertama 2026

Datuk Fad’l Mohamed (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia Berhad, Azizan Abd Aziz (kanan) ketika Sidang media Taklimat Keputusan Kewangan Bursa Malaysia Separuh Pertama 2026 semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM144.6 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2026, meningkat 15.2 peratus berbanding RM125.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi yang lebih baik itu disokong aktiviti pasaran yang kukuh, momentum pengumpulan dana yang sihat serta pelaksanaan berterusan keutamaan strategik bursa.

Bagi tempoh sama, hasil operasi meningkat 19.6 peratus kepada RM411.7 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan sekuriti, manakala perbelanjaan operasi pula meningkat 21 peratus kepada RM229 juta, terutamanya disebabkan kos kakitangan dan fi kawal selia yang lebih tinggi.

Sementara itu, PATAMI bagi suku kedua pula direkodkan sebanyak RM71.7 juta berbanding, RM57.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, sejajar dengan prestasi kukuh pasaran tawaran awam permulaan (IPO) dan saluran penyenaraian yang mantap, Bursa Malaysia menyemak naik salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) utama bagi 2026 dengan meningkatkan sasaran permodalan pasaran IPO daripada RM28 bilion kepada RM34 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, Bursa Malaysia mencatat prestasi yang berdaya tahan pada separuh pertama tahun ini, disokong oleh aktiviti dagangan yang kukuh, momentum pengumpulan dana yang sihat serta keyakinan berterusan terhadap pasaran modal Malaysia.

Katanya, Bursa Malaysia mendahului ASEAN dari segi jumlah IPO dan dana yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh tersebut, dengan 36 IPO mengumpul RM5.4 bilion, sekali gus mengukuhkan peranan kami sebagai platform yang dipercayai oleh syarikat untuk mendapatkan modal bagi tujuan pertumbuhan.

“Walaupun perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global terus memerlukan pemantauan rapi, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong.

“Prospek pertumbuhan Malaysia yang positif bagi 2026, didorong permintaan domestik yang berterusan serta perkembangan sektor teknologi, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembentukan modal dan aktiviti pelaburan.

“Kami yakin terhadap prospek aktiviti IPO pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh saluran penyenaraian yang sihat serta minat berterusan syarikat untuk mendapatkan modal pertumbuhan melalui pasaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, Bursa Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kualiti pasaran, memperluas akses pelabur dan meningkatkan keterhubungan pasaran bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Lembaga pengarah turut meluluskan dan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 16.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, melibatkan pembayaran kira-kira RM133.5 juta, bersamaan nisbah pembayaran dividen sebanyak 92 peratus.

Jelasnya, tarikh kelayakan ditetapkan pada 19 Ogos 2026, manakala pembayaran dividen akan dibuat pada 27 Ogos 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN