PETALING JAYA: Bursa Malaysia akan menggantung dagangan sekuriti Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC) mulai jam 9 pagi, Jumaat, 7 Ogos 2026, bagi memudahkan pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik syarikat.
Dalam notis kepada pemegang saham dan pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Boleh Tukar (RCPS) di Bursa Malaysia, BHIC berkata, penggantungan dagangan saham BHIC dibuat berkaitan dengan pelaksanaan urus niaga pengurangan modal tersebut mengikut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.
Langkah itu turut melibatkan pengurangan modal dan pembayaran balik bagi RCPS Boleh Tebus Boleh Tukar Kelas A serta RCPS Islamik Kelas A dalam BHIC.
Syarikat berkata tarikh kelayakan bagi pelaksanaan pengurangan modal dan pembayaran balik tersebut akan menentukan pemegang saham BHIC yang layak menerima bayaran berkaitan pelaksanaan berkenaan.
Pengurangan modal itu melibatkan saham BHIC yang tidak dimiliki oleh Boustead Holdings serta kedua-dua kelas RCPS yang diterbitkan oleh BHIC.
BHIC sebelum ini memaklumkan cadangan pengurangan modal tersebut adalah sebahagian daripada proses korporat yang tertakluk kepada peruntukan Akta Syarikat 2016 serta kelulusan berkaitan. – UTUSAN










