KUALA LUMPUR: Strategi transformasi empat tahun Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), Acceler8 2027, kini memasuki fasa terakhir selepas berjaya mencatat pertumbuhan yang berdisiplin dan mampan merentasi semua segmen perniagaan.
Sejak dilancarkan pada Januari 2023, Alliance Bank terus mengembangkan perniagaannya sambil melaburkan semula keuntungan yang lebih kukuh ke dalam pembangunan modal insan, teknologi, jenama, infrastruktur dan modal.
Sepanjang tempoh pelaksanaan program transformasi itu, jumlah aset bank meningkat daripada RM61.8 bilion pada tahun kewangan 2022 kepada RM92.2 bilion, manakala keuntungan bersih melonjak daripada RM573 juta kepada rekod RM826.5 juta.
Permodalan pasaran turut berkembang daripada RM5.8 bilion kepada RM8.34 bilion setakat 31 Mac 2026, sementara pegangan pasaran keseluruhan pinjaman meningkat daripada 2.4 peratus kepada 2.8 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, kejayaan Acceler8 jelas terpancar menerusi peningkatan nilai yang diwujudkan kepada pemegang saham, termasuk permodalan pasaran yang meningkat kepada RM8.34 bilion setakat 31 Mac 2026.
Beliau berkata, prestasi itu dicapai meskipun bank berdepan tekanan margin yang sebahagiannya berpunca daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR), hasil tumpuan terhadap inovasi berteraskan pelanggan serta pengukuhan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan Islam.
“Prestasi ini dicapai ketika persekitaran operasi terus mencabar susulan ketidaktentuan tarif perdagangan, ketegangan geopolitik serta turun naik ekonomi global yang menguji daya tahan perniagaan dan pengguna.
“Pada masa sama, kami merekodkan pembiayaan perbankan mampan baharu terkumpul sebanyak RM16 bilion sejak tahun kewangan 2022 dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM17 bilion.
“Ia membuktikan amalan perbankan yang bertanggungjawab mampu menjana nilai mampan kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, segmen PKS terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Alliance Bank apabila pinjaman meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun.
“Kami memperluaskan kapasiti jualan serta melengkapkan pengurus perhubungan dengan pelbagai penyelesaian digital bagi membolehkan lebih ramai pelanggan dilayan dengan lebih cekap.
“Platform Permohonan Pinjaman PKS Digital terus menjadi pemacu utama melalui proses kelulusan kredit yang lebih pantas.
“Platform BizSmart® Mobile turut dipertingkatkan dengan ciri automasi baharu, termasuk penandaan automatik akaun pinjaman dan kad kredit serta pengenalan Borang Permintaan e-Perkhidmatan (e-SRF),” katanya.
Selain itu, Alliance Bank terus memperkukuh sokongannya kepada PKS menerusi penyelesaian berasaskan ekosistem, termasuk penyertaan dalam Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS Bank Negara Malaysia.
Kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) pula memperluaskan akses PKS kepada pembiayaan tanpa cagaran.
Pada masa sama, inisiatif seperti BizSmart® Challenge Accelerator Edition dan BizSmart® Business Conference terus membantu usahawan memperkukuh serta mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi tahun kewangan 2026, Alliance Bank merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM2.47 bilion, meningkat 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, disokong pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak RM2.01 bilion serta lonjakan 42 peratus pendapatan bukan faedah (NOII) kepada RM459.2 juta.
Keuntungan bersih selepas cukai (NPAT) turut mencatat rekod baharu sebanyak RM826.5 juta, meningkat 10.1 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN









