PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad) dan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) memperkukuh hubungan strategik jangka panjang mereka menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini.
Kerjasama strategik selama tiga tahun bagi tempoh 2026 hingga 2029 itu ditandatangani dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Thailand, sekali gus membuktikan komitmen bersama dalam memacu pertumbuhan pelancongan dan mempertingkat hubungan kesalinghubungan serantau.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Berhad, Farouk Kamal berkata, Thailand sentiasa menjadi antara pasaran utama syarikat penerbangan itu dan pihaknya berbangga untuk terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelancong ke destinasi berkenaan.
“Pada separuh pertama tahun 2026, AirAsia telah menerbangkan lebih satu juta tetamu antara Malaysia dan Thailand, sekali gus mengukuhkan permintaan perjalanan yang amat kukuh antara dua pasaran utama ini bagi kumpulan kami.
“Menerusi kerjasama strategik bersama TAT ini, kami berharap dapat meneruskan momentum positif dengan meningkatkan ketibaan pelawat, memperkukuh kesalinghubungan serta mempromosikan keistimewaan Thailand menerusi inisiatif pemasaran dan pelancongan yang berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan inisiatif pemasaran bersepadu serta bekerjasama rapat dalam mempromosikan laluan penerbangan sedia ada dan baharu, di samping berkongsi pandangan pasaran bagi mengenal pasti peluang pertumbuhan sektor pelancongan serantau.
Langkah ini juga selari dengan usaha menyokong kempen TAT, ‘Amazing Thailand, Feel All the Feelings’, serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung sehingga penghujung tahun 2027 bagi merancakkan aliran pelancongan dua hala antara kedua-dua negara tetangga itu.
Saat ini, AirAsia Group mengendalikan sebanyak 123 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Thailand menerusi AirAsia Malaysia (AK) dan Thai AirAsia (FD) yang menghubungkan pelancong melalui lapan laluan terus.
Rangkaian berkenaan meliputi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok (Don Mueang), Chiang Mai, Phuket, Krabi dan Hat Yai, selain menghubungkan Pulau Pinang ke Bangkok dan Phuket serta Johor Bahru ke Bangkok demi menawarkan kemudahan perjalanan yang lancar dan berpatutan. – UTUSAN










