Tiada lagi caj RM1 di ATM mulai 1 Julai - Utusan Malaysia

Tiada lagi caj RM1 di ATM mulai 1 Julai

PELANGGAN perbankan tidak lagi dikenakan caj pengeluaran antara bank RM1 di mesin juruwang automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jutaan pengguna perbankan di negara ini tidak lagi dikenakan caj RM1 setiap kali mengeluarkan wang tunai di mesin juruwang automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai ini, kata Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM).

Dalam kenyataan bersama dengan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), inisiatif itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka.

Katanya, pengecualian caj tanpa had ini terpakai kepada ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.

“Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ini mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif dan mampu milik untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Persatuan berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih merupakan kaedah pembayaran yang penting dan diperlukan oleh ramai rakyat Malaysia dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.

“Sehubungan itu, pemansuhan caj pengeluaran wang tunai antara bank melalui ATM mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan kepada perkhidmatan perbankan, di samping membantu mengurangkan beban kewangan harian rakyat.

“Inisiatif ini menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, inklusif dan berorientasikan pelanggan.

“Walaupun wang tunai kekal sebagai pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara,” ujarnya.

Tambahnya, ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi yang lebih digital, bank-bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang berdaya maju untuk urusan harian.

“Industri perbankan kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, sambil memajukan inklusiviti kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan keseluruhan bagi semua rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN