PETALING JAYA: Prestasi kewangan bagi tiga rangkaian hospital swasta utama di Malaysia secara amnya menepati unjuran pasaran bagi suku pertama 2026, dipacu oleh peningkatan kemasukan pesakit akut dan pertumbuhan organik kunjungan pelanggan.
CIMB Securities berkata, pertumbuhan itu dicatatkan oleh IHH Healthcare Malaysia (IHH MY), KPJ Healthcare (KPJ) dan Sunway Healthcare Holdings (SunMed) dengan masing-masing merekodkan lonjakan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 16 peratus, empat peratus dan 29 peratus bagi asas tahun ke tahun.
Menurutnya, peningkatan perkongsian kes pesakit akut telah mendorong unjuran intensiti hasil purata bagi setiap pesakit dalam melonjak sebanyak 12 peratus untuk IHH MY, 10 peratus bagi SunMed dan enam peratus untuk KPJ.
“Dari segi statistik kemasukan pesakit dalam, prestasi menunjukkan trend bercampur-campur. Pelaksanaan pelan pengembangan prasarana yang agresif oleh SunMed membolehkan mereka mencatatkan pertumbuhan kunjungan pesakit sebanyak 15 peratus tahun ke tahun.
“KPJ pula merekodkan kenaikan stabil sebanyak dua peratus tahun ke tahun, manakala IHH MY mengalami penurunan kunjungan pesakit dalam sebanyak tiga peratus ekoran peralihan pesakit kepada model rawatan harian (daycare),” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma pembrokeran menambah, prestasi pertumbuhan pendapatan KPJ didapati sedikit perlahan bagi suku dikaji berikutan komitmen perbelanjaan yang lebih tinggi bagi membiayai inisiatif pendigitalan syarikat.
Di sebalik perkembangan itu, CIMB Securities mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap keseluruhan sektor penjagaan kesihatan tempatan, disokong oleh faktor peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), penuaan populasi dan kesedaran kesihatan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Firma itu turut meletakkan saranan beli terhadap KPJ dengan harga sasaran (TP) RM4.09 sebagai pilihan utama sektor ekoran model perniagaannya yang berorientasikan pasaran domestik, sekali gus memberikan benteng pertahanan kukuh daripada heretan peralihan dasar global serta ketidaktentuan geopolitik.
Malah, lembaran imbangan KPJ juga semakin baik dengan kedudukan gearan bersih yang mengecil kepada 18 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 45 peratus pada suku pertama 2025.
Dalam pada itu, saranan ‘beli’ dikekalkan terhadap IHH Healthcare dengan TP pada RM10.30, bersandarkan usaha kecekapan operasi berterusan di India serta unjuran pertumbuhan teguh di Malaysia menerusi strategi kluster dan pelan pengembangan hospital.
Bagaimanapun, saranan ‘pegang’ dikekalkan untuk SunMed dengan TP RM1.88 memandangkan unjuran pertumbuhan kukuhnya telah diambil kira oleh pasaran, dengan penilaian gandaan harga pasaran yang premium selepas pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama. – UTUSAN










