KUALA LUMPUR: Penyedia infrastruktur dan perkhidmatan luar pantai global, SBM Offshore bersedia untuk mendepani gelombang kontrak baharu bagi memacu kelestarian nilai serta kesinambungan rantaian perniagaan minyak dan gas global secara berterusan.
Komitmen tersebut menyaksikan syarikat gergasi maritim itu meletakkan Malaysia sebagai komponen penting dalam strategi peralihan ‘pusat graviti’ operasinya ke timur bagi memanfaatkan akses bakat tempatan serta meningkatkan daya saing global.
Pengurus Besar SBM Offshore, Oivind Tangen berkata, pasaran Asia termasuk Malaysia, India dan China yang masing-masing mencatatkan pengukuhan portfolio dalam masa singkat, membuktikan komitmen padu syarikat untuk memperluas rangkaian perniagaan di rantau ini.
“Langkah ini merupakan pengukuhan kedudukan SBM Offshore di Asia yang amat kritikal bagi masa depan kami. Penglibatan berterusan dan kolaborasi rentas negara adalah tunjang kepada identiti syarikat, kepelbagaian serta keterangkuman kami untuk terus mendahului pesaing lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 SBM Offshore Malaysia baru-baru ini.
Mengulas kejayaan operasi di Kuala Lumpur, Oivind berkata, pejabat SBM Offshore Malaysia berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah Pusat Pelaksanaan Global menerusi penyerahan projek-projek berskala besar antarabangsa.
“Ini termasuklah kejayaan penyerahan projek kapal simpanan, pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) Mero 2 dan Mero 4 sebelum ini.
“Hingga kini, pasukan tempatan di Malaysia yang disokong oleh kekuatan tenaga kerja sekitar 500 orang telah terlibat secara langsung dalam menyokong 13 projek bertaraf dunia merangkumi FPSO, Sistem Penambatan Turret dan Boya CALM (Catenary Anchor Leg Mooring).
“Portfolio teknikal pasukan Malaysia merentas garis masa operasi global syarikat turut diperkukuh menerusi penglibatan awal dalam projek ikonik seperti FPSO Kikeh, selain penyertaan dalam FPSO Aseng, FPSO N’goma, FPSO Sepetiba dan FPSO Alexandre de Gusmao,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Negara SBM Offshore Malaysia, Christine Lim berkata, hub Malaysia kini telah matang dengan kedalaman teknikal yang kukuh serta integrasi rapat dengan pasukan antarabangsa syarikat bagi memajukan projek luar pantai yang kompleks.
“Melalui simbolik garisan jingga yang mewakili semangat inovasi dan keberanian serta garisan biru yang melambangkan kepercayaan dan kerjasama, kedua-duanya bergabung membentuk satu gerbang perlindungan di sekeliling FPSO.
“Ini melambangkan bagaimana inovasi dan kepercayaan saling melengkapi dalam mengukuhkan komitmen jangka panjang SBM Offshore terhadap pertumbuhan ekonomi dan industri luar pantai negara,” katanya.
Bagi memastikan konsistensi dan standard kualiti yang tinggi di peringkat global, SBM Offshore Malaysia terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan, rantaian pembekal serta badan industri seperti Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC).
Melangkah ke hadapan, syarikat komited untuk terus melabur dalam ekosistem domestik melalui inisiatif pembangunan bakat, termasuk perkongsian strategik dengan universiti tempatan serta program pembangunan awal kerjaya.
Pada masa yang sama, aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetap menjadi agenda utama syarikat melalui pemuliharaan marin serta pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan fokus khusus untuk meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam bidang teknikal dan kejuruteraan. – UTUSAN










