Puspakom sasar rekrut 100 pemeriksa kenderaan baharu

Puspakom sasar rekrut 100 pemeriksa kenderaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Puspakom Sdn. Bhd. menyasarkan pengambilan 100 Pemeriksa Kenderaan (VE) baharu di seluruh negara pada tahun ini bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemeriksaan kenderaan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, program itu merupakan satu pelaburan dalam modal insan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan. 

“Dengan penambahan 100 VE baharu, kami dapat mewujudkan peluang pekerjaan teknikal untuk rakyat Malaysia,.

“Ia juga memperkukuh misi utama kami untuk memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi standard keselamatan dan alam sekitar yang ketat. 

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, Puspakom memilih untuk terus membangunkan keupayaan dalam bidang yang paling penting kepada keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan. 

Penambahan VE baharu itu dijangka membantu mengurangkan tempoh menunggu pelanggan, meningkatkan daya tahan operasi ketika tempoh puncak serta menyokong pelaksanaan inovasi perkhidmatan baharu yang diperkenalkan tahun ini.

Seiring peningkatan jumlah kenderaan dan keperluan pematuhan, ketersediaan VE yang berkelayakan memainkan peranan penting dalam memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengekalkan kualiti pemeriksaan serta memperkukuh standard keselamatan jalan raya. 

Kapasiti pemeriksaan yang mencukupi amat penting bagi memastikan pemilik dan pengendali kenderaan dapat terus memenuhi keperluan pemeriksaan mandatori tanpa berdepan kelewatan yang boleh dielakkan.

Beliau berkata, bagi menyokong usaha pengambilan ini, seramai 23 calon kini sedang mengikuti Program Intensif Pemeriksa Kenderaan (VEIP).

Menurutnya, ia merupakan program latihan dan pensijilan berstruktur yang dibangunkan untuk melahirkan VE yang kompeten dan profesional sebelum ditempatkan di cawangan-cawangan Puspakom serta Perkhidmatan Trak Bergerak (MTS) di seluruh negara bagi menyokong peningkatan keperluan operasi.

“Jawatan baharu yang diwujudkan itu akan ditempatkan di seluruh negara berdasarkan corak permintaan di setiap lokasi. 

“Calon yang berjaya akan mengikuti latihan komprehensif di fasiliti latihan bertauliah Puspakom yang merangkumi protokol pemeriksaan, penggunaan peralatan diagnostik canggih, pematuhan peraturan, pengalaman pelanggan serta aspek etika profesional.

“Selain pakej gaji yang kompetitif serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan faedah-faedah lain, calon yang berjaya turut menikmati laluan pembangunan kerjaya yang tersusun, peluang memperoleh pensijilan profesional serta pendedahan kepada teknologi pemeriksaan terkini.

“Keselamatan kenderaan dan keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama. VE kami merupakan barisan hadapan yang membantu memastikan keselamatan keluarga, pengendali armada serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya. 

Ambilan ke-19 yang terdiri daripada 23 pelatih telah didaftarkan untuk mengikuti program ini pada 26 April 2026 dan telah menamatkan empat minggu latihan intensif teori sebelum meneruskan Latihan Sambil Bekerja (OJT) selama dua minggu di cawangan Puspakom terpilih di seluruh negara. 

Pelatih-pelatih kini sedang menjalani OJT dan dijangka akan menamatkan program tersebut selepas berjaya lulus dalam semua penilaian yang ditetapkan.

Calon yang berjaya dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan ditawarkan jawatan sebagai VE sepenuh masa sebaik sahaja menamatkan program tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN