PETALING JAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini dijangka tidak akan menjejaskan pasaran hartanah negeri itu secara keseluruhan.
Walaupun aktiviti jualan rumah diramal mengalami sedikit kelembapan dalam tempoh beberapa minggu sekitar tarikh pengundian, pasaran dijangka kembali melantun semula menjelang penghujung tahun ini.
Menurut analisis pasaran oleh rangkaian ejen hartanah global Juwai IQI, unjuran itu dibuat berasaskan penilaian trend pasaran masa lalu, data transaksi semasa, serta jumlah petunjuk pasaran (leads) yang diterima oleh agensi berkenaan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, trend daripada pilihan raya terdahulu membuktikan bahawa sentimen politik tidak mengganggu asas pertumbuhan hartanah di Johor.
“Sebagai contoh, ketika Johor mengadakan PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) secara serentak pada tahun 2022, jumlah dan nilai jualan rumah di negeri itu melonjak lebih 25 peratus. Jelas sekali proses pengundian tidak menjejaskan pasaran.
“Begitu juga pada tahun 2013, ketika pasaran hartanah nasional mencatatkan kelemahan semasa tahun pilihan raya, jumlah rumah yang dibeli di Johor tetap bertahan dan melonjak sebanyak 16 peratus mengikut data Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas prestasi semasa, Kashif berkata, data awal NAPIC bagi suku pertama 2026 menyaksikan sebanyak 8,730 unit rumah bernilai RM4.45 bilion bertukar tangan di Johor, iaitu menyusut 9.5 peratus dari segi volum berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu sebahagian besarnya berpunca daripada tindakan pembeli asing khususnya dari Singapura dan China yang mengambil sikap tunggu dan lihat susulan langkah kerajaan menggandakan kadar duti setem pembeli asing pada Januari lalu.
Bagaimanapun, beliau optimis golongan pelabur asing akan kembali aktif menjelang akhir tahun ini ekoran jurang harga hartanah antara kedua-dua wilayah yang masih terlalu besar.
Berdasarkan data suku pertama, purata harga rumah di Johor adalah sekitar RM487,128 berbanding purata harga sebuah flat kos rendah (HDB) pasaran sekunder di Singapura yang mencecah RM2.1 juta (S$652,482).
“Kekosongan permintaan asing ini menyebabkan segmen mampu milik mendominasi pasaran di Johor.
“Rumah berharga RM500,000 dan ke bawah merangkumi 63 peratus daripada transaksi, manakala rumah berharga RM300,000 dan ke bawah mencatatkan hampir 38 peratus dengan kediaman jenis teres kekal paling diminati,” katanya.
Tambah beliau, pasaran hartanah Johor untuk jangka masa panjang akan terus dipacu oleh pemangkin ekonomi utama seperti pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Singapura-Johor Bahru dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berbanding kalendar pilihan raya.
“Melihat kepada faktor fundamental, Johor kekal sebagai salah satu pasaran kediaman terkuat di Malaysia yang disokong oleh permintaan rentas sempadan serta rantaian projek rumah mampu milik yang mampan,” katanya. – UTUSAN










