Pertumbuhan ekonomi Malaysia utuh, OPR dijangka kekal

Pertumbuhan ekonomi Malaysia utuh, OPR dijangka kekal

BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus pada mesyuarat MPC hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal utuh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, sekali gus menolak keperluan untuk menyemak semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, dalam keadaan pertumbuhan yang relatif stabil serta inflasi yang boleh diurus, kadar pengangguran juga kekal rendah berbanding tahun lalu.

Katanya, tiada keperluan untuk campur tangan dalam dasar monetari, walaupun kadar pengangguran ada meningkat sedikit kepada 3.0 peratus pada April.

“Bagi isu pengangguran, tumpuan seharusnya diberikan kepada program latihan semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah. Perubahan OPR tidak semestinya dapat menangani isu pengangguran secara langsung.

“OPR wajar dikekalkan pada paras semasa bagi mengekalkan kestabilan ekonomi. Saya menjangkakan kadar itu akan terus dikekalkan melainkan berlaku perubahan ketara dalam trajektori inflasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bulan lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus. 

Mesyuarat keempat MPC pada tahun ini akan diadakan pada 9 Julai depan bagi menentukan arah tuju dasar monetari negara seterusnya.

Sementara itu, Kim Leng berkata, perjanjian damai antara AS dan Iran bagi menamatkan perang di Asia Barat pada Jumaat ini dijangka terus menyederhana harga minyak mentah, sekali gus membantu meredakan tekanan inflasi dunia.

“Sekiranya perjanjian damai yang sedang diusahakan dapat dimuktamadkan, harga minyak dijangka terus menyederhana. Ini akan membantu meredakan tekanan inflasi dan mengurangkan kebimbangan terhadap kenaikan harga secara global.

“Saya juga berpandangan bahawa pengesahan perjanjian damai itu berpotensi mencetuskan aktiviti pembinaan semula di Asia Barat, sekali gus meningkatkan sentimen pelabur.

“Dalam keadaan tersebut, prospek pertumbuhan ekonomi global berkemungkinan disemak naik dan menjadi lebih positif. Malaysia juga dijangka mendapat manfaat daripada persekitaran ekonomi global yang lebih kondusif, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×