Permintaan infrastruktur AI pacu pasaran semikonduktor global AS$1.5 trilion - Utusan Malaysia

Permintaan infrastruktur AI pacu pasaran semikonduktor global AS$1.5 trilion

SEGMEN memori dijangka melonjak sebanyak 250 peratus tahun ke tahun untuk mencecah nilai AS$800 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Badan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menyemak naik unjuran pertumbuhan jualan semikonduktor global bagi tahun ini kepada 89.9 peratus tahun ke tahun sekali gus memacu nilai pasaran keseluruhan mencecah AS$1.5 trilion.

Penganalisis CIMB Securities, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, semakan naik yang mendadak berbanding unjuran awal sebanyak 26.3 peratus itu mencerminkan permintaan luar biasa dalam segmen memori yang dijangka melonjak sebanyak 250 peratus tahun ke tahun untuk mencecah nilai AS$800 bilion.

“Pasaran semikonduktor global kini dijangka mencecah AS$1.5 trilion disokong oleh kesinambungan pelaksanaan prasarana kecerdasan buatan (AI), kemajuan infrastruktur pengkomputeran, serta peningkatan kandungan semikonduktor dalam pasaran akhir.

“Permintaan terhadap infrastruktur AI berkenaan terus disokong oleh perbelanjaan modal (capex) yang besar, terutamanya oleh penyedia perkhidmatan awan (CSP) Amerika Syarikat (AS) dengan pertumbuhan capex dianggarkan melonjak 71 peratus bagi tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Susulan perkembangan itu, CIMB Securities bertindak menaikkan penarafan sektor teknologi Malaysia kepada pandangan ‘Overweight’ berikutan sektor ini telah memasuki kitaran peningkatan baharu dengan potensi pelarasan semula penilaian.

“Saranan ‘Overweight’ ini didorong oleh tiga pemangkin utama iaitu kejelasan pendapatan yang diterajui oleh superkitaran AI, dasar kerajaan yang menguntungkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pemulihan permintaan industri semikonduktor secara keseluruhan.

“Syarikat pemasangan dan pengujian semikonduktor luar (OSAT) serta peralatan ujian automatik (ATE) tempatan seperti Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI), ViTrox Corporation Bhd., Inari Amertron Bhd. dan Unisem (M) Bhd. bakal meraih manfaat besar daripada permintaan kukuh bagi pusat data AI,” katanya. 

Firma penyelidikan itu mengekalkan MPI (Saranan: Beli, Harga Sasaran: RM57.00) dan ViTrox (Saranan: Beli, Harga Sasaran: RM6.80) sebagai saham pilihan utama sektor, selain menaikkan penarafan Inari kepada saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM2.65.

Melihat kepada unjuran jangka masa panjang, sektor teknologi Malaysia dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan komposit (CAGR) bagi untung bersih teras sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun (2025-2028).

Sub-sektor ATE dijangka menerajui pertumbuhan dengan unjuran CAGR untung bersih teras sebanyak 60 peratus, diikuti oleh sub-sektor pembuatan elektronik (EMS) sebanyak 40 peratus dan sub-sektor OSAT pada paras 20 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN