Pendapatan e-dagang meningkat kepada RM1.29 trillion pada 2024

Pendapatan e-dagang meningkat kepada RM1.29 trillion pada 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Transformasi digital dalam sektor perniagaan Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila pendapatan e-dagang negara meningkat 8.8 peratus kepada RM1.29 trilion pada 2024, disokong oleh penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin meluas dalam kalangan pertubuhan.

Menurut laporan Statistik Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penggunaan teknologi digital terus berkembang dalam sektor perniagaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan menyumbang RM639.8 bilion dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 9.7 peratus, diikuti rapat oleh sektor pembuatan yang mencatatkan RM635.5 bilion dengan pertumbuhan 8.8 peratus. 

Katanya, sektor pembinaan dan pertanian masing-masing merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.3 peratus dan 9.2 peratus, mencerminkan penyertaan yang semakin meluas dalam pasaran digital. 

“Prestasi ini membuktikan bahawa pendigitalan kini menjadi pemacu utama kepada daya tahan ekonomi, sekali gus membolehkan perniagaan dalam pelbagai sektor meneroka peluang pertumbuhan baharu, memperkukuh kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing dalam landskap pasaran yang semakin dinamik,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan penggunaan teknologi digital bukan sekadar tindak balas terhadap perubahan pasaran, malah merupakan langkah strategik yang membolehkan perniagaan berinovasi, meningkatkan kecekapan operasi dan kekal berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berkembang.

“Mengikut sektor, sektor pembuatan kekal sebagai sektor yang paling aktif dari segi pendigitalan dengan mencatatkan penggunaan web presence tertinggi sebanyak 76.2 peratus, disokong oleh penggunaan komputer dan internet yang tinggi masing-masing sebanyak 96.5 peratus. 

“Sektor perkhidmatan mengikuti rapat dengan kadar penggunaan web presence sebanyak 74.6 peratus, mencerminkan peningkatan kebergantungan terhadap platform digital untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan dan penglibatan pelanggan,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, sektor pembinaan merekodkan penggunaan web presence sebanyak 73.2 peratus dan kadar penggunaan komputer dan akses internet tertinggi, masing-masing sebanyak 97.4 peratus, menunjukkan peranan penting kesalinghubungan digital dalam meningkatkan penyelarasan projek dan kecekapan operasi. 

Menurutnya, sektor perlombongan dan pengkuarian pula mencatatkan penggunaan web presence sebanyak 59.8 peratus pada 2024. 

“Media sosial kekal sebagai platform digital paling banyak digunakan dengan kadar penggunaan 80.3 peratus, diikuti laman web milik sendiri (58.7 peratus), e-pasaran atau e-marketplace (44.1 peratus) dan laman web pada entiti lain (38 peratus).

“Pada masa sama, 97.2 peratus perniagaan menggunakan komputer, manakala 95.3 peratus mempunyai akses internet, mencerminkan tahap pendigitalan yang semakin tinggi dalam operasi harian syarikat,” jelasnya.

Tambahnya, Rangkaian Kawasan Luas (WAN) kekal sebagai rangkaian yang paling banyak digunakan dengan kadar penggunaan 89.4 peratus, diikuti oleh Rangkaian Kawasan Setempat (LAN) pada 77.5 peratus dan Rangkaian Kawasan Setempat Tanpa Wayar (WLAN) pada 71.8 peratus. 

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa perniagaan semakin bergantung kepada sistem digital bersepadu untuk mempertingkatkan kecekapan operasi dan komunikasi. 

“Pada masa yang sama, penggunaan intranet dan extranet masing-masing mencapai 53.1 peratus dan 26.2 peratus yang menggambarkan usaha perniagaan untuk memperkukuh kerjasama dalaman serta memperluaskan hubungan dengan pelanggan, pembekal dan rakan niaga,” jelasnya.

Beliau berkata, infrastruktur digital yang kukuh ini turut disokong oleh kadar penembusan internet yang tinggi, dengan penggunaan jalur lebar tetap kekal dominan pada kadar 94.0 peratus manakala jalur lebar mudah alih mencapai 79.8 peratus. 

Katanya, ketersambungan ini menyokong pelbagai aktiviti perniagaan dalam talian, khususnya aktiviti komunikasi menerusi e-mel (97.0 peratus), perbankan internet (92.1 peratus) dan pencarian maklumat berkaitan barangan atau perkhidmatan (83.1 peratus). 

“Seiring dengan itu, perniagaan terus menggunakan teknologi digital yang lebih maju yang diterajui oleh internet mudah alih dan teknologi berkaitan (74.0 peratus), media sosial (71.2 peratus) dan pengkomputeran awan (60.3 peratus). 

“Trend ini mencerminkan tahap integrasi digital yang semakin mendalam dalam kalangan perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi, fleksibiliti dan penglibatan pelanggan. 

“Dalam pada itu, penggunaan internet dan teknologi 5G dalam kalangan pertubuhan meningkat kepada 33.0 peratus pada tahun 2024 berbanding 30.6 peratus pada tahun 2023,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN