PETALING JAYA: Institusi asing melanjutkan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut di Bursa Malaysia dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM10.7 juta pada minggu lalu.
MBSB Investment Bank Berhad berkata, institusi asing merupakan penjual bersih pada dua daripada empat hari dagangan sepanjang minggu, dengan aliran keluar direkodkan pada Selasa sebanyak RM97.8 juta dan Khamis (RM72.1 juta).
Katanya, aliran masuk direkodkan pada Jumaat sebanyak RM146.6 juta dan Isnin (RM12.7 juta).
“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah teknologi (RM128.2 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM117.0 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM74.6 juta).
“Sementara itu, tiga aliran keluar bersih terbesar dilihat dalam penjagaan kesihatan (RM108.8 juta), telekomunikasi dan media (RM106.0 juta) dan pembinaan (RM57.8 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 19 Jun 2026.
Bank pelaburan berkata, institusi tempatan melanjutkan rentetan pembelian bersih selama sepuluh minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM318.2 juta.
Sementara itu, MBSB Investment Bank berkata, peruncit menamatkan rentetan pembelian bersih selama lima minggu berturut-turut, mencatatkan jualan bersih sebanyak RM307.5 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan yang meluas iaitu peruncit sebanyak 20.6 peratus, institusi tempatan sebanyak 35.1 peratus, manakala institusi asing menyaksikan peningkatan sebanyak 41.3 peratus,” jelasnya. – UTUSAN










