Mohd. Haris dilantik jadi Pengerusi MPOA baharu

Mohd. Haris dilantik jadi Pengerusi MPOA baharu

MOHD. HARIS MOHD. ARSHAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd. Haris Mohd. Arshad dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) baharu bagi penggal 2026-2028.

Pelantikan beliau diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPOA ke-27 yang berlangsung di Royale Chulan Damansara, semalam.

MPOA dalam kenyataan berkata, Mohd. Haris merupakan seorang pemimpin industri yang amat berpengalaman dan bakal membawa kepakaran berdekad lamanya untuk memacu fasa pertumbuhan persatuan yang seterusnya.

“Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman global dalam sektor hiliran, khususnya dalam perdagangan komoditi, perolehan dan transformasi strategik.

“Mohd. Haris juga terkenal dengan kepimpinan berwawasan dalam memacu kecemerlangan operasi industri,” katanya. 

Beliau menggantikan Datuk Lee Yeow Chor yang telah berkhidmat sebagai Pengerusi MPOA selama enam tahun lalu dengan penuh dedikasi dan kepimpinan yang cemerlang.

Selain menerajui MPOA, Mohd. Haris turut memegang beberapa jawatan berpengaruh lain yang membentuk masa depan industri minyak sawit Malaysia.

Beliau merupakan Pengerusi Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) bagi memacu piawaian kebangsaan, inisiatif kemampanan serta daya saing global.

Pada masa sama, beliau turut menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk memperjuangkan pembangunan perdagangan dan pemasaran minyak sawit negara.

MPOA menambah, dalam kapasiti baharunya, Mohd. Haris akan memantau hala tuju strategik majlis dan bekerjasama rapat dengan pasukan kepimpinan eksekutif untuk mewakili serta memajukan kepentingan industri minyak sawit demi masa depan yang mampan, kompetitif dan makmur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN