MITI tolak dakwaan kapasiti berlebihan, buruh paksa - Utusan Malaysia

MITI tolak dakwaan kapasiti berlebihan, buruh paksa

JOHARI Ghani ketika berucap pada majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengeluarkan produk secara berlebihan untuk membanjiri pasaran Amerika Syarikat (AS) dan ia mungkin berpunca daripada import dari negara ketiga, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia mempertahankan pendirian tidak mempunyai kapasiti berlebihan.

“Tetapi jika ada negara lain yang mempunyai kapasiti berlebihan dan produk mereka masuk ke Malaysia sebelum diproses semula dan dieksport ke AS, mungkin itu yang menjadi perhatian mereka. Kita perlu tunggu hasil siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) di sini, semalam.

Ia menjawab kebimbangan Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) terhadap aktiviti buruh paksa yang disyaki dan dakwaan kapasiti berlebihan dalam kalangan pengeluar Malaysia sebagai sebab cadangan tarif 10 peratus ke atas eksport Malaysia.

Tarif tersebut dijangka berkuat kuasa selepas tarif 10 peratus semasa yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan AS 1974 tamat tempoh pada 24 Julai, walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan tiada keputusan muktamad kerana perbincangan masih berlangsung.

Menurut beliau, pada masa sama AS telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 301.

“Bagi Malaysia, dua perkara yang sedang diteliti ialah kapasiti berlebihan dan buruh paksa. Siasatan berkaitan buruh paksa telah selesai dan Malaysia telah mengemukakan hujah serta penjelasan kepada pihak AS.

“Isu kapasiti berlebihan pula masih dalam siasatan dan keputusan mengenainya bergantung sepenuhnya kepada pihak AS.

“Kami telah membentangkan kes kami dan sebagainya. Secara keseluruhan, mereka telah mencadangkan tarif antara 10 peratus hingga 12.5 peratus, Malaysia dikenakan 10 peratus,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia mempunyai mekanisme untuk mengesan sama ada bahan atau produk yang diimport dari negara ketiga dihasilkan menggunakan buruh paksa, beliau berkata, isu buruh paksa juga merupakan perkara yang berada di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kita adalah ahli ILO dan telah mematuhi ketetapan yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, jika terdapat lima syarikat di negara A dan empat daripadanya tidak mematuhi peraturan berkaitan buruh paksa, tetapi satu syarikat mematuhinya, maka kita boleh membeli daripada syarikat yang mematuhi peraturan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, MITI dalam kenyataannya menegaskan Malaysia tidak mempunyai kapasiti perindustrian berlebihan yang mengganggu atau memesongkan pasaran global dan output perindustrian Malaysia mencerminkan permintaan sebenar.

“Malaysia telah mengemukakan bukti terperinci untuk tujuan ini dan akan mempertahankan pendirian ini. USTR masih belum mengeluarkan sebarang penemuan dan mencadangkan tindakan berkaitan,” katanya.

MITI berkata, Malaysia adalah negara perdagangan yang bertanggungjawab dengan perlindungan pekerja yang kukuh dan komitmen yang teguh terhadap perdagangan yang adil.

“Malaysia sentiasa mematuhi dan menegakkan sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan, memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian perdagangan dua hala, serantau dan pelbagai hala.

“Kerajaan akan terus libat urus dengan AS di semua peringkat dan akan memberikan maklumat terkini selanjutnya apabila proses itu berjalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN