Kadar tambang ECRL masih dalam penilaian - Utusan Malaysia

Kadar tambang ECRL masih dalam penilaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diumumkan secara rasmi sehingga kini, menurut Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Menurut MRL, sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.

“Kadar tambang ECRL sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan, termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bagi memastikan ia kekal berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna, selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan. Kadar tambang rasmi akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan setelah proses penilaian dan kelulusan dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan.

MRL berkata, pihaknya menghargai keterujaan orang ramai terhadap ECRL dan memohon semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi melalui saluran komunikasi ECRL, MRL dan Kementerian Pengangkutan.

“Kadar tambang yang ditetapkan nanti akan mengambil kira kepentingan rakyat serta memberikan nilai terbaik kepada pengguna,” katanya.

Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. 

Pengoperasian ECRL bakal memendekkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak dalam tempoh empat jam, berbanding sekitar tujuh jam jika menggunakan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN