PETALING JAYA: Industri sarung tangan getah tempatan dijangka memasuki separuh kedua 2026 dalam kedudukan paling kukuh sejak kemerosotan pasca pandemik Covid-19, menurut BIMB Research.
Dalam tinjauan prospek bagi separuh kedua, firma penyelidikan itu berkata, industri berkenaan sebahagian besarnya telah melepasi kitaran penyahstok yang berpanjangan, disokong oleh peningkatan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran, kestabilan harga jualan purata (ASP) serta jurang tarif yang semakin melebar antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Permintaan global bagi sarung tangan dijangka meningkat daripada 421 bilion unit pada 2025 kepada 455 bilion unit pada 2026, sebelum mencecah 530 bilion unit menjelang 2028.
“Unjuran itu mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar lapan peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, BIMB Research berkata, walaupun pemulihan pendapatan syarikat semakin ketara, pelabur tidak seharusnya menganggap situasi semasa sebagai permulaan kepada satu lagi kitaran pertumbuhan luar biasa seperti ketika pandemik.
Ujarnya, industri ketika ini hanya sedang pulih daripada paras yang sangat rendah dan bukannya memasuki fasa kekurangan bekalan seperti yang berlaku semasa Covid-19.
“Lebihan kapasiti pengeluaran masih tinggi, manakala persaingan daripada pengeluar China di luar pasaran AS terus mengehadkan kuasa penetapan harga.
“Oleh itu, sektor ini belum bersedia untuk penilaian semula secara menyeluruh,” katanya.
Menurut firma penyelidikan, corak tempahan kini menjadi lebih konsisten, sekali gus meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kepada sekitar 80 hingga 90 peratus dalam kalangan pengeluar utama Malaysia, berbanding hanya 60 hingga 70 peratus setahun lalu.
BIMB Research berkata, peningkatan penggunaan kapasiti memberi kesan besar kepada keuntungan kerana industri sarung tangan merupakan perniagaan yang mempunyai kos tetap yang tinggi.
“Setiap peningkatan penggunaan kapasiti akan memberi kesan yang lebih besar kepada pendapatan menerusi manfaat operasi yang lebih kukuh.
“Namun, momentum semasa lebih didorong oleh aktiviti pengisian semula stok dan bukannya ledakan permintaan. Pertumbuhan dijangka kembali sederhana selepas 2026,” katanya.
Dari segi harga jualan purata, ASP menunjukkan pemulihan ketara berbanding paras terendah sebelum ini.
Sarung tangan nitril Malaysia yang dieksport ke AS kini dijual pada pertengahan hingga hujung lingkungan AS$20 (RM81.30) bagi setiap 1,000 unit, berbanding di bawah AS$18 (RM73.17) ketika kemuncak kemerosotan industri.
BIMB Research berkata, gangguan bekalan getah nitril butadiena (NBR) baru-baru ini telah memberi ruang kepada pengeluar untuk memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan, sekali gus menyokong pemulihan ASP.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak boleh dianggap sebagai peningkatan kuasa penetapan harga yang sebenar.
“Apabila harga NBR mula kembali normal daripada paras tertinggi baru-baru ini, pembeli dijangka akan menuntut rundingan semula harga, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan ASP pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










