Harga emas dijangka susut ke RM540 segram minggu depan - Utusan Malaysia

Harga emas dijangka susut ke RM540 segram minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas dijangka terus susut ke paras RM540 segram minggu hadapan berikutan perkembangan positif dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin menunjukkan petanda memberangsangkan.

Harga emas global mencatatkan penurunan ketara dalam dagangan awal hari ini apabila emas dibuka pada paras AS$4,170.00 seauns, susut AS$75.90 atau 1.79 peratus berbanding sesi sebelumnya.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ketegangan geopolitik yang semakin reda akan mengurangkan permintaan terhadap emas sebagai aset selamat.

Ketika ini, harga emas berada sekitar RM550 segram dan berpotensi menurun ke paras RM540 segram jika sentimen pasaran terus bertambah baik.

“Harga emas juga sering bergerak seiring dengan perkembangan harga minyak dunia. Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan dan pengeluaran turut bertambah, menyebabkan harga barang dan perkhidmatan naik serta memberi tekanan kepada ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Rizal, pelabur lazimnya beralih kepada emas sebagai instrumen lindung nilai bagi melindungi kekayaan mereka daripada ketidaktentuan ekonomi.

Ujarnya, faktor ini menjadikan emas antara aset yang sering diburu ketika ekonomi berdepan tekanan.

“Namun, sekiranya rundingan damai AS-Iran terus mencatat kemajuan dan harga minyak global kembali stabil, tekanan inflasi dijangka berkurangan.

“Keadaan ini boleh mengurangkan permintaan terhadap emas, sekali gus menyebabkan harga logam berharga tersebut meneruskan trend penurunan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambahnya, pasaran akan terus memantau perkembangan geopolitik dan ekonomi global dalam menentukan hala tuju harga emas pada minggu-minggu akan datang.

Harga emas berada di landasan untuk mencatat penurunan mingguan ketiga berturut-turut, selepas jatuh lebih satu peratus pada Jumaat berikutan pengukuhan dolar AS dan isyarat dasar monetari yang lebih ketat daripada Fed AS.

Harga emas spot susut 1.1 peratus kepada AS$4,163.93 seauns setakat pukul 03:38 GMT.

Secara keseluruhan, kontrak tersebut telah merosot 1.3 peratus sepanjang minggu ini.

Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Ogos pula turun 1.5 peratus kepada AS$4,181.20 seauns.

Pasaran di tanah besar China dan Hong Kong ditutup sempena cuti Festival Perahu Naga menyebabkan aktiviti dagangan menjadi lebih perlahan.

Dolar AS meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh setahun, menjadikan emas yang didenominasikan dalam dolar lebih mahal bagi pemegang mata wang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN