PETALING JAYA: Gambit Tech Solutions dan SANDS Consulting Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik bagi meneroka, membangun serta membiayai projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan transformasi digital bernilai sehingga RM250 juta bagi tempoh tiga tahun pasca pandemik.
Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, kedua-dua syarikat menyasarkan peluang pasaran dalam sektor awam dan swasta yang merangkumi infrastruktur pintar serta projek berteraskan teknologi di seluruh negara.
Kerjasama itu bakal menggabungkan kepakaran Gambit Tech Solutions dalam integrasi sistem dan pelaksanaan infrastruktur pintar bersama keupayaan SANDS Consulting dari aspek penstrukturan kewangan serta khidmat nasihat strategik.
Menerusi model PFI, kedua-dua organisasi akan mengenal pasti dan menguruskan portfolio projek komprehensif melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gambit Group, Datuk Clifford Hii berkata, pendekatan berasaskan PFI dan rangka kerja pembiayaan mampan ini dirangka khusus bagi mendepani situasi kekangan fiskal semasa apabila agensi kerajaan atau GLC didapati lebih berwaspada untuk berbelanja secara agresif.
“Model ini membolehkan sektor awam mempercepatkan pelaburan penting dalam infrastruktur dan teknologi tanpa menjejaskan sumber kewangan, sekali gus meminimumkan risiko pelaksanaan.
“Pihak kami menyediakan dana sedia ada sebanyak RM250 juta untuk tempoh dua hingga tiga tahun ini bagi memudahkan rakan strategik kami mendapatkan projek.
“Kami menyasarkan nilai terkumpul projek mencecah RM250 juta, namun kekal terbuka untuk menilai angka yang lebih tinggi bergantung kepada keperluan strategik pasaran,” katanya semasa majlis menandatangani MoU di sini hari ini.
Tambahnya, bagi fasa pertama, entiti gabungan itu menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya tiga projek tunjang bernilai sekitar RM120 juta hingga RM130 juta sebelum penghujung tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SANDS Consulting, Mohammed Khairil Adzhar berkata, kekuatan kedua-dua syarikat adalah saling melengkapi, terutamanya dengan rekod prestasi jangka panjang syarikatnya dalam memberikan khidmat nasihat korporat kepada GLC.
“Kerjasama ini turut menyokong agenda transformasi negara menuju ke arah Negara AI 2030. Dari segi kesediaan teknologi, kami sedang meneliti pembangunan Agentic AI (ejen kecerdasan buatan) yang mampu melengkapi satu sama lain dari segi instrumen teknologi.
“Ini termasuk penyelesaian bandar pintar, platform kerajaan digital, infrastruktur pengkomputeran awan, keselamatan siber serta komponen teknikal pusat data seperti pembekalan pelayan dan sistem tenaga pintar,” katanya.
Selain itu, skop kerjasama turut diperluaskan kepada pembangunan utiliti pintar, sistem amaran awal banjir, pengurusan alam sekitar, teknologi penjagaan kesihatan digital serta projek tenaga boleh diperbaharui.
Bagi memastikan daya maju pelaburan jangka masa panjang, konsortium berkenaan akan melaksanakan penilaian usaha wajar yang ketat merangkumi rakan teknologi antarabangsa dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Projek PFI ini dijangka distrukturkan di bawah model konsesi bagi tempoh antara lima hingga 20 tahun bagi menjamin margin pulangan yang mampan.
Pasca pemeteraian MoU ini, satu rangka kerja bersama akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti peluang keutamaan serta memulakan libat urus bersama pihak berkepentingan utama. – UTUSAN










